SEREMBAN: Sebanyak 15,678 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan terhadap individu membuang sampah kecil di tempat awam di tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi tempoh lapan bulan tahun ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Zulkifli Tamby Chik berkata daripada jumlah itu, 11,109 notis melibatkan warga tempatan manakala 4,569 adalah warga asing.
Beliau berkata antara kesalahan yang direkodkan termasuk membuang puntung rokok, botol plastik, lidi, kertas dan tisu di tempat awam.
"Daripada 4,569 warga asing itu, 3,870 merupakan pekerja manakala bakinya adalah pelancong. Tindakan penguatkuasaan tetap diambil tanpa mengira kewarganegaraan," katanya kepada Bernama selepas program Zero Waste Temiang Run 2026 di sini hari.
Zulkifli berkata daripada keseluruhan notis tersebut, sebanyak 1,928 kes mendapat izin untuk pendakwaan manakala 1,087 kes ditetapkan untuk sebutan di mahkamah.
Beliau berkata setakat Ogos lepas, 693 kes diputuskan di mahkamah dengan 599 individu selesai menjalani khidmat masyarakat yang diperintahkan termasuk melibatkan aktiviti mencuci longkang, membersihkan sampah di jalan serta kerja kutipan sampah.
Beliau berkata tempoh khidmat masyarakat boleh mencecah maksimum 12 jam, namun kebiasaannya hukuman dikenakan adalah empat jam dan ke atas bergantung kepada budi bicara serta pertimbangan mahkamah, selain denda.
SWCorp mula melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) secara rasmi pada 1 Jan tahun ini bagi memperkasakan penguatkuasaan terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.
Setakat ini, tujuh negeri menerima pakai akta tersebut iaitu Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Pahang, Johor dan Perlis.
-- BERNAMA