MOSCOW: Tiada keperluan untuk melancarkan siasatan antarabangsa terhadap letupan pada saluran paip gas Nord Stream kerana ia tidak akan menghasilkan apa-apa, lapor Sputnik yang memetik kenyataan Kementerian Luar Sweden.

Kenyataan Kementerian Luar Sweden pada awalnya dilaporkan oleh RIA Novosti pada Jumaat ketika kementerian itu mengulas cadangan dari China.

Lewat bulan lepas, Timbalan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Geng Shuang menyeru supaya diadakan siasatan diketuai PBB mengenai letupan di saluran paip gas Nord Stream.

Siasatan ke atas insiden itu telah dilakukan oleh pihak berkuasa Sweden menurut prinsip asas kebebasan, tidak berat sebelah dan kedaulatan undang-undang, kata kementerian itu sambil menambah siasatan di dalam negara masih lagi berjalan dan tiada keperluan untuk siasatan antarabangsa kerana ia tidak akan menghasilkan apa-apa.

--BERNAMA-SPUTNIK