PETALING JAYA: Lebih banyak syarikat Malaysia perlu mengikuti dan menerima pakai rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), bagi memupuk kemampanan jangka panjang dan memberi kesan positif kepada alam sekitar dan masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, dengan mengintegrasikan prinsip itu ke dalam strategi syarikat mereka, ia bukan sahaja berupaya memacu pertumbuhan dan keuntungan, malah menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan untuk manusia.

"Dalam era kemampanan itu merupakan sebagai satu usaha penting untuk perniagaan, mengekalkan piawaian yang teguh dan mempunyai kualiti yang tiada tandingan adalah sangat diutamakan," katanya pada Majlis Makan Malam Gala ke-55 Tomei Consolidated Bhd malam Rabu.

Beliau berkata, mengambil contoh kejayaan kumpulan Tomei yang menandakan komitmen Malaysia dalam memupuk persekitaran mesra perniagaan yang memberikan peluang setara untuk berjaya, tanpa mengira latar belakang atau keadaan seseorang.

"Di sebalik kejayaan perniagaan kumpulan Tomei, ia amat menggembirakan apabila dapat menyaksikan bagaimana mereka menjadi perintis yang menerima pakai rangka kerja ESG dalam industri pertukangan emas dan barang kemas. Inisiatif proaktif mereka untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara sememangnya patut dipuji.

"Dedikasi kumpulan Tomei terhadap kecemerlangan, integriti, dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab menjadi petunjuk kepada orang lain untuk dicontohi. Semoga ia menjadi pemangkin dan inspirasi untuk usahawan kita mencapai tahap baharu di peringkat global," katanya. - BERNAMA