Seramai 11 individu dan sebuah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan pengubahan wang haram dan menerima deposit tanpa lesen.

Mereka ialah pengarah Genneva Malaysia, Datuk Tan Liang Keat, 45; Datuk Philip Lim Jit Meng, 60; Ahmad Khairuddin Ilias, 59; pengurus besarnya, Lim Kah Heng, 46; serta tiga penasihat perniagaan, Datuk Ng Poh Weng, 67; Datuk Marcus Yee Yuen Seng, 65; Datuk Chiew Soo Ling, 53; Ng Wan Yee, 38; dan Ng Yee Yaw, 36; Ng Wan Yean, 33; dan Tony Yao Kee Boon, 56.

Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mat Ghani dalam penghakimannya berkata, pengambilan wang yang dimasukkan ke dalam akaun milik Genneva bukan deposit seperti yang ditakrifkan di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA) 1989.

"Dalam kes pengambilan deposit lain tidak terdapat balasan yang nyata, namun, dalam kes ini, terdapat balasan apabila pembayaran dibuat iaitu emas.

"OKS (Genneva) sudah sedaya upaya mematuhi peraturan di bawah BAFIA dan prinsip syariah," katanya.

Liang Keat, Kah Heng, Poh Weng, Jit Meng, Ahmad Khairuddin dan Syarikat Genneva mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terbabit dalam pengubahan wang haram dengan cara memiliki, menerima, memindah dan memperoleh sejumlah wang hasil daripada aktiviti haram melalui cek daripada akaun CIMB Islamic Bank Berhad ke dalam akaun CIMB Bank Berhad milik mereka.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Subseksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10 juta atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya.

Enam yang lain pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang hasil daripada aktiviti haram daripada pelbagai syarikat termasuk Genneva Malaysia.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang boleh dihukum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan memanggil 89 saksi manakala pihak pembelaan memanggil 13 saksi semasa perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alvin Ong dan Nik Haslini Hashim, manakala peguam Gooi Soon Seng mewakili kesemua tertuduh.

-- BERNAMA