Peguam Syazlin Mansor berada dalam kedudukan konflik kepentingan kerana beliau mewakili kedua-dua pihak - kerajaan dan keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim - dalam inkues mengenai kematian anggota bomba itu, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Dalam kes ini, kerajaan adalah merujuk kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Kepentingan pihak-pihak ini (KPKT, JBPM dan keluarga Muhammad Adib) mungkin bertentangan. Adalah sesuatu yang tidak boleh diterima apabila Syazlin mewakili ketiga-tiga pihak," kata Thomas.

Menurutnya lagi, Syazlin mengambil peranan yang aktif di dalam inkues, malah sering mengambil kedudukan yang bercanggah daripada kedudukan yang diambil oleh Timbalan Pendakwa Raya, iaitu pegawai yang menjalankan prosiding.

"Perkara ini memalukan beliau dalam kapasitinya sebagai peguam mewakili KPKT," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Syazlin sepatutnya tolak pelantikan kerajaan - Tommy Thomas

Katanya, beliau mengeluarkan kenyataan hari ini bagi menjelaskan kekeliruan dan spekulasi berikutan penarikan diri Syazlin, anggota Badan Peguam Malaysia, daripada terus mewakili KPKT, JBPM dan keluarga Muhammad Adib dalam inkues itu.

"Syazlin telah menerima pelantikan untuk mewakili KPKT dan JBPM di dalam prosiding inkues ini semasa beliau juga dilantik mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

"Beliau sepatutnya menolak pelantikan kerajaan tersebut atas beberapa sebab," kata Thomas.

Beliau kemudiannya menyenaraikan empat sebab menyokong hujahnya.

* KPKT dan JBPM, sebagaimana kementerian dan jabatan kerajaan lain, hendaklah mendapatkan nasihat undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara, dan peguam luar mesti dilantik oleh Peguam Negara / Pendakwa Raya.

* Pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara yang menjalankan tugas membantu Koroner berkata Syazlin sering mengambil kedudukan yang bercanggah berbanding kedudukan yang diambil Timbalan Pendakwa Raya.

* Suami Syazlin adalah Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin.

* Syazlin berada di dalam kedudukan konflik kepentingan apabila bersetuju mewakili KPKT dan JBPM kerana beliau juga turut mewakili keluarga Muhammad Adib yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues.

Atas sebab-sebab di atas, kata Thomas, beliau telah memohon supaya Zuraida menarik balik pelantikan Syazlin daripada terus mewakili KPKT dan JPBM.

BACA: Syazlin tidak sepatutnya tarik diri sebagai peguam keluarga Muhammad Adib - Tun Mahathir

Muhammad Adib, 24 tahun, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov, 2018.

Beliau meninggal dunia pada 17 Dis, 2018, selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur selama 21 hari.