"Syukur, saya bukan lagi Perdana Menteri" - Tun M lega dapat ulas isu Kashmir tanpa sekatan

"Saya boleh bercakap mengenai isu Kashmir tanpa sekatan dan ancaman boikot." - Dr Mahathir

Saya bersyukur saya bukan lagi Perdana Menteri sekarang kerana saya boleh bercakap mengenai isu Kashmir tanpa sekatan dan ancaman boikot, kata Dr Mahathir. -  Gambar Astro AWANI | Astro Awani
Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa syukur kerana beliau bukan lagi Perdana Menteri pada masa ini.

Tanpa jawatan itu, beliau memperoleh peluang untuk mengulas isu yang melanda Kashmir tanpa sebarang sekatan dan ancaman boikot.

“Saya bersyukur saya bukan lagi Perdana Menteri sekarang kerana saya boleh bercakap mengenai isu Kashmir tanpa sekatan dan ancaman boikot.

“Saya memilih untuk bersuara walaupun akan mendapat tentangan dan perbezaan pendapat.

“Bagi saya, berdiam diri ketika negara besar yang menindas negara lain adalah sesuatu yang tidak boleh dibiarkan,” katanya pada ucapan sempena majlis Hari Solidariti untuk Kashmir di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur pada Sabtu.


Turut hadir ialah Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad, bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) Datuk Abdul Ghani Shamsuddin dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid.

Menurut Dr Mahathir lagi, isu Kashmir harus diselesaikan dengan cara yang aman.

BACA: Kashmir, wilayah indah yang kembali bergolak



“Saya pernah mengulas mengenai isu ini sebelum ini dan saya akan menegaskannya sekali lagi.

“India harus bekerjasama dengan Pakistan untuk menyelesaikan isu berkenaan dan mereka tidak seharusnya mengendahkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” tegas beliau.


“Tentunya sudah tiba masanya untuk India untuk muncul sebagai negara terkemuka yang mampu menangani dan mengambil langkah serius serta khusus dan menghentikan tindakan yang tidak akan diambil oleh mana-mana negara yang mengaku sebagi sebagai kubu demokrasi,” katanya lagi.

Pada 28 September lalu di Perhimpunan Agung PBB (UNGA), Dr Mahathir antara lain menyebut, Jammu dan Kashmir telah ‘ditawan dan dijajah’, dan meminta New Delhi dan Pakistan bekerjasama menyelesaikan masalah tersebut.

BACA: Malaysia tidak perlu keluar kenyataan mengenai Kashmir - India

Petikan kenyataan bekas perdana menteri itu mengundang banyak komen di laman Twitter termasuk netizen dipercayai warga India, yang menyuarakan rasa kecewa mereka menerusi #BoycottMalaysia.

Rakyat Malaysia kemudiannya memutuskan untuk tidak berdiam diri dan membalasnya dengan #BoycottIndia.