PUTRAJAYA: Seramai 231 pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang mengekalkan minima Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.80 sepanjang sesi pengajian tahun lepas, telah menerima Danasiswa Pelajar Cemerlang, sebagai menghargai usaha serta komitmen mereka dalam bidang akademik.

Berucap pada Majlis Iftar Perdana UNITEN 2024 di sini semalam, Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata jumlah keseluruhan Danasiswa Pelajar Cemerlang ialah sebanyak RM80,850.

"Sumbangan ini diberikan kepada pelajar yang bukan dalam kategori asnaf fakir atau miskin, tetapi atas usaha dan komitmen akademik mereka.

"Atas semangat inilah, Tabung Amanah Zakat UNITEN (TAZU) menyediakan dan membelanjakan sejumlah besar dana zakat, untuk diagihkan kepada pelajar UNITEN yang dikenal pasti layak untuk menerima bantuan, bagi memastikan mereka tidak tercicir untuk menimba ilmu ke peringkat yang lebih baik," katanya.

Abdul Razak berkata TAZU turut diserahkan kepada 400 pelajar asnaf fakir dan miskin yang bermotivasi dan bersemangat meneruskan pengajian di UNITEN, demi mengejar kecemerlangan.

Beliau berkata sagu hati Hari Raya dengan nilai keseluruhan RM280,000 itu, diberikan sebagai tanda prihatin pihak universiti kepada pelajar cemerlang, yang berhadapan dengan masalah ekonomi.

Abdul Razak berkata RM69,000 dana TAZU pula disumbangkan kepada 138 kakitangan UNITEN dan TNB yang memerlukan sokongan, menepati syarat dan pengiraan had kifayah.

"Bagi membantu mereka ini, inisiatif Jejak Sahabat Prihatin telah diperkenalkan, bagi mengenal pasti kakitangan untuk menerima bantuan bagi membuat persiapan sambutan Aidilfitri," katanya.

Abdul Razak berkata RM58,600 pula disumbangkan kepada 100 pekerja am yang bertungkus lumus memastikan persekitaran UNITEN, Yayasan Tenaga Nasional, Institut Penyelidikan TNB dan Institut Latihan Sultan Ahmad Shah, kekal segar serta selamat.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) memangku tugas Naib Canselor UNITEN Prof Datuk Dr Mohd Zamri Yusoff berkata sehingga 31 Dis, TAZU berjaya mengutip RM99.33 juta dan mengagihkan RM40.17 juta kepada lebih 3,000 asnaf.

Beliau berkata matlamat penubuhan TAZU, untuk mewujudkan saluran alternatif pengumpulan zakat bagi membantu pelajar yang layak menerima bantuan.

"Ini dengan harapan untuk mencapai visi dan misi sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, dengan memperkasakan modal insan dan melahirkan Muslim profesional," katanya.

Mengenai pengiktirafan yang diterima UNITEN, beliau berkata universiti itu telah tersenarai sebagai antara penolong amil institusi pengajian tinggi, yang mendapat penghargaan atas pencapaian kutipan tertinggi kaunter.

"Untuk 2023, UNITEN telah tersenarai sebagai ejen/penolong amil yang layak, untuk menerima hadiah Kempen Insentif 2023 bagi kutipan sepanjang 2023," katanya.

Majlis Iftar Perdana UNITEN 2024 anjuran TAZU bersama Pusat Islam Uniten itu dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada kakitangan dan pelajar.

Majlis diadakan bagi meraikan golongan asnaf sempena bulan Ramadan dengan menyampaikan sumbangan dan penghargaan kepada pelajar cemerlang, kakitangan UNITEN serta TNB.

-- BERNAMA