PETALING JAYA: Cadangan mewujudkan tabung bagi pemberian pampasan kepada pekebun dan pemilik tanaman yang mengalami kerugian akibat serangan hidupan liar akan dibangkitkan kepada Kementerian Kewangan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2024.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perbincangan dengan Kementerian Kewangan akan diadakan dalam masa dua minggu dan garis panduan bagi dasar itu telah disediakan.

Katanya, kementerian telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berhubung dasar pemberian pampasan itu.

"Kalau sebelum ini kerajaan hanya ada tabung untuk pampasan bagi kematian atau kecederaan, kita juga sedang melihat tabung sagu hati bagi masalah pencerobohan kebun dan harta benda yang dialami, termasuk untuk masyarakat Orang Asli.

"Ini di peringkat kerajaan sebab saya percaya hanya bila kita dapat redakan ketegangan (konflik haiwan dan manusia) ini maka kita dapat (mencapai) matlamat untuk memastikan hidupan liar dan hutan terpelihara," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tanah Orang Asli kali ke-12 di sini pada Sabtu.

Ditanya mengenai pampasan kepada tanaman yang diusahakan di tanah rizab kerajaan ketika sesi dialog bersama masyarakat Orang Asli, Nik Nazmi berkata, perincian mengenai dasar itu akan diteliti sebaiknya kerana pampasan terbabit perlu diberikan kepada pihak yang wajar.

"(Sebagai contoh), sekiranya tanaman itu diusahakan di tanah rizab, jadi itu antara perkara yang kami ambil maklum, seperti yang saya kata dasar untuk kita bagi harta benda dan kebun ini masih lagi dasar baharu yang sedang dibangunkan.

"...kita faham ini antara isu-isu yang mungkin jadi - kita takut masyarakat anggap mudah dapatkan (pampasan) tetapi apabila sampai (masa pelaksanaan), banyak syarat-syarat kecil... rupanya tidak mudah," katanya.

Mengenai pelepasan binatang ke hutan berhampiran perkampungan Orang Asli, Nik Nazmi berkata perkara itu akan dibincangkan dengan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) secepat mungkin.

Katanya, ini kerana terdapat keperluan mengadakan perbincangan antara pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan kerajaan negeri, sebelum pelepasan haiwan liar dilakukan.

Nik Nazmi turut ditanya mengenai pembinaan Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri di Kelantan yang didakwa menjejaskan masyarakat Orang Asli yang tinggal sekitar kawasan itu.

Katanya, kerajaan Persekutuan berpendirian tidak akan membina empangan hidroelektrik berskala besar pada masa akan datang seperti Empangan Kenyir di Terengganu, Empangan Pergau, Kelantan dan Empangan Nenggiri.

"Itu dasar yang kita ambil bergerak ke depan... cuma Empangan Nenggiri ini telah diluluskan...bagi membatalkan projek itu di luar bidang kuasa saya.

"Saya tahu sebab kadang-kadang empangan hidroelektrik ini 'dijual' sebagai mesra alam sebab tidak ada karbon, tak keluarkan asap tapi ada kes satu rancangan nak buat empangan di Semenanjung belum lulus, dengar saja nak buat (empangan) tiba-tiba hutan (di kawasan) itu ditebang sebab orang nak dapatkan kayu balak," katanya.

Beliau berkata, pembinaan empangan berskala besar akan mengakibatkan kawasan perkampungan berhampiran ditenggelami air dan menyebabkan kemusnahan habitat hidupan liar, seterusnya mencetuskan pencerobohan haiwan itu ke kawasan kediaman manusia.

Persidangan Nasional Tanah Orang Asli kali ke-12 yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan, Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) dan kumpulan hak asasi manusia Pusat KOMAS yang mengumpulkan kira-kira 100 perwakilan komuniti Orang Asli dari Kelantan, Perak, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor. - BERNAMA