ALOR SETAR: Pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan Pulau Pinang, masing-masing menubuhkan enam 'Pasukan Cantas' bagi memburu baki 171 tahanan yang masih lagi bebas.


Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad memaklumkan pihak polis kedua-dua negeri itu juga telah melakukan Ops Tutup melibatkan empat Sekatan Jalanraya (SJR) di Seberang Perai Selatan, empat SJR di Bandar Baharu dan lima di Kulim bagi menjejaki kesemua mereka.


"Pihak IPK Kedah telah menubuhkan pasukan siasatan, khusus untuk mengendalikan berkenaan rusuhan dan pelarian ini, yang terdiri (daripada) 13 pegawai anggota dan kita akan ambil semua 'statement' untuk kenal pasti apakah punca kejadian dan permasalahan sewajarnya selain siasatan kenapa (mereka) lari daripada tahanan ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika sidang media perkembangan terkini kes tahanan lolos di Depoh Imigresen Sementara Relau, di IPK Kedah pada Rabu.

BACA: 528 tahanan depoh imigresen lolos, 205 masih diburu, 6 maut nahas lebuh raya

Tahanan Lari | Polis sedang kesan baki 176 tahanan


Dalam perkembangan sama Wan Hassan menasihati orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan melaporkan kepada pihak polis termasuk sekiranya terjumpa saki-baki banduan yang masih bebas.


Tambahnya, operasi pencarian juga akan dilakukan secara berterusan sehingga kesemua banduan yang masih bebas ditemui.


"Dipercayai ada yang menumpang kereta dan sebagainya, saya minta kerjasama daripada masyarakat bila kenalpasti ini minta maklum kepada pihak polis untuk buat tangkapan segera untuk kita kenalpasti (jumlah yang masih bebas dan telah ditangkap).


"Kemungkinan mereka ini dipercayai muslim berpuasa, mungkin tengah hari lapar, takut ada jenayah lain itu yang kita risau, kita minta orang ramai supaya orang ramai nampak kelibat mereka ini minta maklum terus kepada pihak polis berdekatan," katanya lagi.


Kes diklafikasikan dibawah Seksyen 147(merusuh)/224 (tentangan atau halangan terhadapan penangkapan yang sah) yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.


Terdahulu, seramai 528 tahanan Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap meloloskan diri, kira-kira jam 4 pagi tadi.


Difahamkan kesemua tahanan yang dipercayai warga Rohingya itu meloloskan diri selepas berlaku rusuhan.


Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain,memaklumkan dalam usaha melepaskan diri, seramai enam tahanan telah terlibat kemalangan jalan raya yang meragut nyawa dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak perempuan, dan seorang kanak-kanak lelaki.