KANGAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh tempoh lanjutan tahanan reman terhadap anak Menteri Besar dan empat lagi suspek bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Tempoh reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret Kangar disambung sehari lagi sehingga esok selepas tempoh asal reman kesemua suspek tamat pada hari ini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, bagaimanapun, seorang daripada enam suspek yang bertugas sebagai pembantu teknik di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dipercayai berusia 20-an yang ditahan semalam dibebaskan hari ini.

Kesemua suspek berusia 27 hingga 37 diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob.

Mohd Fadhly ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Kangar berkata, ini adalah fasa sambungan reman yang terakhir buat anak guamnya.

"SPRM meminta tujuh hari sebagai tempoh sambungan reman namun pihak mahkamah hanya membenarkan sehari sahaja lagi tempoh reman disambung.

"Ini adalah untuk segala siasatan anak guam saya diselesaikan dengan segera dan selepas esok anak guam saya harus dilepaskan.

"Setakat ini, hanya seorang anak guam saya dibebaskan daripada siasatan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan sambungan tempoh penahanan berkenaan.