KUALA LUMPUR: Isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak kemungkinan boleh menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat jelata jika tidak ditangani secara halus dan tertib, tegas Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menegaskan, persoalan paling penting sekarang adakah wujud 'penderhaka' di sebalik pelanggaran titah perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersabit isu pengampunan bersyarat Najib.
"Saya juga bimbang titah Yang di-Pertuan Agong boleh disanggah begitu sahaja sehingga menimbulkan tanggapan 'pelanggaran' itu dikaitkan dengan agenda politik.
"Saya tidak menolak anggapan sesetengah pihak bahawa tindakan tersebut dikatakan telah mencemarkan kedudukan dan institusi Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara.
"Walaupun berhujah beralaskan undang-undang tetapi mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap bekas perdana menteri itu dilihat seolah-olah seperti menderhaka kepada titah perintah Yang di-Pertuan Agong." katanya dalam catatan di laman Facebook pada Sabtu.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib, ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan pada 18 September 2026.
Jelas jabatan itu, penangguhan berkenaan dibuat susulan persoalan perundangan berhubung status baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International selepas beliau menjelaskan denda RM50 juta.
Namun pada Sabtu, Istana Negara dalam hantaran yang dikongsi di akaun media sosial Sultan Ibrahim menegaskan, semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat yang memperkenankan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah telah pun dipenuhi.
Tegas hantaran itu, sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
"Pada 18 September 2026, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
"Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu yang turut dihadiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara, telah memberikan nasihat yang sewajarnya kepada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
"Selanjutnya, Seri Paduka Baginda telah memerintahkan bahawa Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat iaitu sekiranya Dato' Sri Mohd Najib membayar denda RM50 juta," jelas kenyataan itu.
Terbaharu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon ampun dan menjelaskan keputusan menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, kerajaan mengiktiraf bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan segala persiapan bagi memenuhi titah berkenaan perlu dilaksanakan.