GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang hari ini memutuskan untuk membatalkan penganjuran rumah terbuka Ketua Menteri sempena Tahun Baharu Cina (TBC) tahun ini, berikutan situasi semasa pandemik COVID-19 yang belum pulih sepenuhnya.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira aspek keselamatan secara menyeluruh semua pihak terutamanya rakyat Pulau Pinang, lebih-lebih lagi dengan beberapa kes varian Omicron dikesan di negeri itu, baru-baru ini.

"Oleh itu, kerajaan negeri memutuskan bahawa Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina YAB Ketua Menteri pada tahun ini tidak dapat diadakan.

"Saya juga ingin menasihatkan supaya rakyat Pulau Pinang untuk teruskan kawalan kendiri dan kekal berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi diri sendiri, keluarga dan komuniti sekeliling," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dengan pengumuman itu, tahun ini merupakan tahun kedua berturut-turut kerajaan Pulau Pinang membatalkan penganjuran majlis tersebut disebabkan pandemik.

Pulau Pinang dilaporkan telah mencatatkan dua kes varian Omicron pada Disember lepas, melibatkan kes import yang dikesan melalui dua individu yang pulang dari Arab Saudi selepas menunaikan umrah.

-- BERNAMA