ISKANDAR PUTERI: Johor menyasarkan kedatangan seramai 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Johor 2026.

Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sasaran itu akan dijayakan menerusi beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk pemasaran dan promosi Majestic Johor, penambahbaikan infrastruktur pelancongan, penganjuran acara pelancongan bertaraf antarabangsa dan pengenalan destinasi pelancongan mampan.

"Johor bertuah kerana memiliki alam semulajadi yang indah dan menarik serta bangunan warisan bersejarah yang mampu menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia.

"Sehubungan itu, dengan sukacita saya mengumumkan tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Johor. Pelbagai usaha akan dibuat dalam menarik pelancong dari dalam dan luar negara," katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Beliau berkata sebelum pandemik COVID-19, negeri itu menerima seramai 7.6 juta pelancong pada 2019 dan tahun ini, kerajaan negeri menyasarkan bilangan kemasukan pelancong mencapai 8 juta orang.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan pusat termasuk agensi di bawah kementerian berkaitan bagi menjayakan beberapa projek yang telah dirancang, antaranya kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur sedia ada dengan peruntukan sebanyak RM67.6 juta.

Antaranya, beliau berkata kerja-kerja menaik taraf jeti utama dan jambatan Sungai Ular di Taman Negara Johor Pulau Kukup, Pontian, menaik taraf kemudahan dan membina baru canopy roof di Kompleks Pelawat Air Terjun Gunung Ledang, Muar, dan menaik taraf laman tiba Taman Negara Johor, di Tanjung Piai, Pontian.

Onn Hafiz (BN-Machap) turut berkata penganjuran acara Majestic Johor Festival akan diteruskan dan ditambah baik selepas ia berjaya menarik kehadiran pelan domestik dan asing ke negeri ini sepanjang tempoh penganjurannya.

"Majestic Johor Festival telah menerima penghormatan daripada Industri PelanconganMalaysia apabila menerima anugerah Gold Award Attractive State Tourism Event. Oleh itu, RM 1.7 juta diperuntukkan bagi meneruskan inisiatif ini.

"Selain itu, kita akan memperkasa peranan Jawatankuasa Kumpulan Penyelarasan Destinasi Pelancongan Mampan sebagai program rintis yang akan dilaksanakan di daerah Mersing selari dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari," tambahnya.

Sebelum ini, Johor pernah mengumumkan tahun 2020 sebagai Tahun Melawat Johor, serentak dengan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 namun keduanya terpaksa dibatalkan akibat pandemik.

-- BERNAMA