Skip to main content

Malaysia

Tajikistan anggap Malaysia rakan kongsi dipercayai di Asia Tenggara - Duta

Ambassador Extraordinary & Plenipotentiary of the Republic of Tajikistan to Malaysia, Republic of Indonesia, Kingdom of Thailand, and Permanent Representative of the Republic of Tajikistan to UNESCAP_http://tajemb-my.org/ambassador/
Ardasher S. Qodiri berkata, kedua-dua negara turut dihubungkan oleh ikatan persahabatan yang kukuh, sikap saling menghormati dan nilai kerohanian yang dikongsi bersama. - Gambar http://tajemb-my.org/
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tajikistan menganggap Malaysia sebagai rakan kongsi yang dipercayai dan amat dihargai di Asia Tenggara, dengan peluang kerjasama yang semakin berkembang dalam bidang perdagangan, pelaburan, logistik serta pertukaran kebudayaan dan kemanusiaan.

Duta Besar Tajikistan ke Malaysia, Ardasher S. Qodiri berkata, kedua-dua negara turut dihubungkan oleh ikatan persahabatan yang kukuh, sikap saling menghormati dan nilai kerohanian yang dikongsi bersama.

“Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang mesra atas layanan baik yang secara tradisinya diberikan serta sokongan berterusan dalam memperkukuh hubungan dua hala kita,” katanya pada majlis resepsi sempena ulang tahun ke-35 kemerdekaan Tajikistan, di sini, pada Rabu.

Qodiri berkata, beliau berharap dapat melihat lebih banyak projek dan inisiatif bersama pada masa depan yang mampu memberikan manfaat nyata kepada rakyat serta terus memperkukuh perkongsian antara Asia Tengah dengan Asia Tenggara.

Sementara itu, Qodiri berkata, Tajikistan mengalami transformasi ketara sepanjang 35 tahun lepas, daripada pemulihan pascakrisis kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara meningkat berkali ganda, manakala purata pertumbuhan ekonomi tahunan kekal melebihi lapan peratus dan kadar kemiskinan menurun daripada 83 peratus pada awal 2000-an kepada kurang 20 peratus,” katanya.

Beliau berkata, Tajikistan secara beransur-ansur beralih daripada ekonomi yang sebahagian besarnya berasaskan pertanian dan perindustrian kepada hab perindustrian dan logistik yang dinamik menerusi pelaksanaan objektif strategik nasional secara konsisten, di samping meletakkan asas kukuh bagi pembangunan mampan jangka panjang.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement