SKUAD Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon terus menerbitkan petanda positif apabila memperbaiki kedudukan dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan berharap rentak positif itu dapat diteruskan, sekali gus meraih kedudukan lebih baik terutama untuk menembusi ranking 100 terbaik dunia dalam beberapa tahun akan datang.

“Alhamdullilah... ia satu kebanggaan kepada pasukan bola sepak negara selepas kita dapat naik dalam kedudukan ranking dunia. Itu adalah apa yang dimahukan semua penyokong Harimau Malaya selama ini.

“Namun, saya yakin kita dapat pergi lebih jauh daripada kedudukan sekarang ini. Saya percaya skuad negara mampu berada di ranking 100 terbaik dunia dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Lagipun, pasukan negara ini baru sahaja diperbaiki, bukan dah lama. Kenaikan demi kenaikan ini adalah satu bukti bahawa pasukan negara semakin baik dari semasa ke semasa,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Berdasarkan kemas kini terbaharu ranking FIFA yang dikeluarkan pada Khamis, Malaysia telah naik satu anak tangga dari kedudukan ke-138 ke posisi 137 dunia.

Untuk rekod, pencapaian itu merupakan kedudukan terbaik Malaysia dalam tempoh 17 tahun sejak berada di tangga ke-127 dunia pada Mei 2006.

Melalui semakan di laman sesawang FIFA, Harimau Malaya berjaya mengumpul 1091.57 mata keseluruhan, selepas mengutip 9.44 mata tambahan daripada kemenangan dalam aksi persahabatan baru-baru ini.

Selepas menewaskan Kepulauan Solomon 4-1, Harimau Malaya berjaya merekodkan antara kemenangan terbesar dalam sejarah apabila membelasah Papua New Guinea 10-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, Harimau Malaya tidak perlu risau apabila berdepan pasukan yang berada di rangking lebih baik pada perlawanan antarabangsa akan datang.

“Kita ada Pestabola Merdeka dan beberapa aksi persahabatan selepas ini, mungkin sebelum Piala Asia tahun depan kita dapat lonjak lima atau 10 anak tangga dah kira baik.

“Jangan takut kerana kita sudah ada sebuah pasukan yang kuat dan ramai pemain pelapis berkualiti yang boleh meneruskan rentak cemerlang ini.

“Sebelum ini, kita lawan dengan pasukan yang lebih lemah atau setanding dengan kita. Sekarang kita telah bersedia untuk meraih kemenangan dengan pasukan yang lebih kuat,” ujarnya. - Sinar Harian