CHERAS: Seramai 66 pemilik rumah kedai Kampung Baru Batu 9 Cheras di sini menolak cadangan pengambilan tanah di kawasan itu bagi projek naik taraf Jalan Persekutuan FT3210 dari persimpangan Batu 9 ke Jalan Datuk Alias Hulu Langat.

Setiausaha jawatankuasa bantahan, Lam Mai Ling, 43, berkata, kawasan itu merupakan tanah peninggalan nenek moyang yang telah diwarisi selama tiga generasi dan mempunyai nilai sentimental buat mereka.

Mai Ling menunjukkan pelan cadangan pengambilan tanah bagi projek naik taraf Jalan Persekutuan FT3210.

Menurutnya, cadangan pembatalan pemilikan tersebut masih di peringkat awal dan mereka telah mengemukakan bantahan memohon supaya naik taraf tersebut tidak melibatkan deretan premis perniagaan mereka dianggarkan sejauh satu kilometer.

"Projek ini difahamkan telah diluluskan pada 2019 sebelum lantikan pemaju dibuat pada tahun ini. Kami hanya dimaklumkan berkenaan cadangan itu pada Februari lalu dan kini dalam proses penilaian di bawah Seksyen 4.

"Kami telah mengemukakan rayuan dan kami berharap diadakan sekali lagi pertemuan dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi perbincangan dan cadangan alternatif serta mencari jalan penyelesaian bersama," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambahnya, pemilik mencadangkan supaya pelan projek diubah suai dengan menggunakan tanah lapang berhampiran kawasan itu tanpa menjejaskan struktur perniagaan mereka.


Kee Chiong.
Sementara itu seorang pemilik rumah kedai, Tan Kee Chiong, 44, berkata, kebanyakan perniagaan yang dijalankan di kawasan itu sudah berusia puluhan tahun termasuk kedai jahit bapanya diusahakan lebih 40 tahun.

"Bukan soal nilai pampasan tapi melibatkan nilai sentimental. Kami sudah mempunyai pelanggan tetap dan tidak mudah untuk bangkit semula di lokasi baharu.

"Tambahan pula, ini merupakan mata pencarian utama. Jika premis dirobohkan maka ia akan melumpuhkan ekonomi peniaga-peniaga di sini," katanya.

Pengusaha Taska Cahaya Iman, Fazilah Rahman, 48 yang telah mengusahakan taska berkenaan lebih 20 tahun di kawasan itu, turut khuatir jika cadangan tersebut diluluskan.

"Taska Cahaya Iman satu-satunya taska swasta yang terdapat di sini. Perkhidmatan kami telah kukuh di sini dan untuk berpindah dan mulakan perniagaan di tempat baharu tidak mudah.

"Kawasan perniagaan di sini pesat menawarkan perkhidmatan serba lengkap seperti farmasi, kedai serbaneka dan taska yang menjadi keperluan buat penduduk setempat.

"Saya harap ada penyelesaian terbaik di atas isu ini. Jika boleh kerajaan fikirkan alternatif tanpa menjejaskan periuk nasi kami," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian