GEORGE TOWN: Penambahan prosedur dan hukuman yang menyeluruh melibatkan kegiatan samseng jalanan di bawah Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986 perlu dibuat dalam usaha membanteras kegiatan tersebut hingga ke akar umbi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ia adalah antara perkara yang dirumuskan dalam mesyuarat perancangan strategi memerangi lumba haram dan 'mat rempit' peringkat Kontinjen Pulau Pinang bersama beberapa jabatan dan agensi, hari ini.

Beliau berkata mesyuarat itu turut merumuskan peranan jawatankuasa pencegahan dan penguatkuasaan perlu diteruskan serta ditingkatkan dengan menambah baik beberapa perkara termasuk dari segi perundangan berkaitan lumba haram.

"Kami bersetuju untuk pihak berkuasa menambah baik prosedur dan hukuman di bawah Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu supaya tindakan lebih ketat dikenakan kepada 'mat rempit' dan pengubalan undang-undang khusus ke atas ibu bapa, penjaga (pesalah samseng jalanan) dan penonton.

"Cadangan kami juga ialah menaikkan kadar hukuman saman ke atas pengubahsuaian motosikal dan menggubal undang-undang supaya tindakan boleh diambil ke atas bengkel pengubahsuaian komponen, struktur dan asas kepada kenderaan.

"Seterusnya semua cadangan itu akan diserahkan kepada pihak atasan iaitu pembuat dasar di Putrajaya, dan seterusnya dibawa ke peringkat Parlimen untuk menguatkuasakannya supaya tindakan tegas dapat diambil ke atas 'mat rempit' serta samseng jalanan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu, yang dihadiri antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Pihak Berkuasa Tempatan, Universiti Sains Malaysia(USM), Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata semenjak penubuhan jawatankuasa memerangi kegiatan 'mat rempit' Julai tahun lepas, pihaknya mendapati kegiatan itu semakin berkurangan, malah tiada lagi aktiviti lumba haram dalam skala besar di Pulau Pinang.

Katanya sejak Julai hingga semalam 76 'mat rempit' berusia 16 hingga 36 tahun ditahan polis dan sebanyak 5,009 saman dikeluarkan dalam 206 operasi yang dijalankan di seluruh Pulau Pinang.

"Setakat ini terdapat 13 lokasi hotspot yang kerap geng 'mat rempit' jadikan tempat mereka berlumba haram dan pihak polis sentiasa melaksanakan operasi berterusan di kawasan berkenaan dalam usaha membanteras kegiatan itu," katanya.

Menurutnya pihak polis juga telah berkolaborasi dengan USM dalam membuat kajian bagi memerangi gejala 'mat rempit' di peringkat akar umbi dan beliau percaya penglibatan agensi lain juga diperlukan dalam usaha membanteras kegiatan itu.

-- BERNAMA