KUALA LUMPUR: Mana-mana individu yang mengesyaki telah menerima suntikan 'vaksin kosong' COVID-19 diminta tampil membuat laporan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam kenyataan berkata, laporan itu bagi membolehkan polis membuka kertas inkuiri berhubung perkara berkenaan.

"Sekiranya penerima-penerima vaksin mengesyaki telah menerima suntikan vaksin kosong, mereka boleh membuat laporan polis di balai polis berhampiran dan Jabatan Siasatan Jenayah akan membuka kertas inkuiri untuk menyiasat aduan tersebut.

"Bagi kejadian berlakunya penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran dan secara online atau sebarang usaha penjualan vaksin yang bukan mengikut Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, orang ramai juga boleh membuat aduan dan siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu," kata beliau. 

Ujarnya, pihak polis ketika ini telah menerima banyak pertanyaan dan aduan daripada penerima vaksin COVID-19 berhubung perkara tersebut.

Tambah beliau, sehingga kini, PDRM belum lagi mengesan mana-mana sindiket atau individu cuba menjual atau memasarkan vaksin kepada orang ramai secara rahsia atau sebaliknya.

"Bagi penerima-penerima vaksin yang merasa gelisah dan merasa telah diperdayakan dengan tidak disuntik dengan vaksin, mereka boleh membuat ujian COVID neutralizing antibody test di makmal-makmal perubatan yang berlesen sebulan (30 hari) selepas menerima suntikan dos kedua untuk mengesahkan keberadaan antibodi di dalam badannya," katanya.