KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengekalkan hak milik tanah seluas 400 hektar di Felda Sahabat 22 dan 23 susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, semalam.
Menerusi kenyataan hari ini, Jabatan Komunikasi Strategik Felda memaklumkan agensi itu menghormati keputusan mahkamah yang membatalkan keputusan Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah berhubung cadangan penyerahan tanah sebelum ini bagi dakwaan tuntutan berkaitan Tanah Adat Anak Negeri.
Advertisement
"Tanah itu diperoleh secara sah oleh Felda melalui pajakan selama 99 tahun berkuat kuasa 1 Jan 1984. Sejak 2009, kawasan ini menjadi subjek tuntutan oleh beberapa kumpulan yang mendakwa sebagai hak tanah adat.
"Bagi mendapatkan pencerahan isu ini, Felda membuat permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat sebelum ini. Dengan keputusan ini, tanah itu kekal di bawah hak milik Felda," menurut kenyataan tersebut.
Felda menegaskan akan terus komited meneruskan pembangunan dan pengurusan ladang secara mampan demi kepentingan peneroka serta pembangunan ekonomi Sabah dan negara.
-- BERNAMA