PEKAN: Lapan keluarga dipindahkan susulan tanah mendap berhampiran bangunan kuarters Sekolah Kebangsaan Bandar 2, di Paloh Hinai, di sini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, semua penghuni dipindahkan sementara ke asrama sekolah sebagai langkah berjaga-jaga.



"Pihak polis telah menerima maklumat daripada pihak sekolah pada jam 8.55 pagi menyatakan terdapat satu kejadian tanah mendap berhampiran dengan kuarters sekolah.

"Bangunan kuarters 4 tingkat itu didiami oleh lapan keluarga yang terdiri daripada 14 orang dewasa dan 10 orang kanak-kanak.

"Semua penghuni telah dipindahkan buat sementara ke asrama sekolah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Tambah Mohd Zaidi, JKR daerah dan Jabatan Bomba kini melakukan pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan tersebut.   

"Pihak JKR juga memaklumkan siasatan tanah dan tapak oleh Bahagian Struktur dan Cerun secara terperinci akan dibuat bagi tujuan pembaikan kawasan mendapan," katanya.