SUNGAI BULOH : Ibu kepada Allahyarham Nurul Azwani Kamarulzaman yang merupakan antara mangsa korban tragedi tanah runtuh di Batang Kali dilihat tenang meninggalkan Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh pada Sabtu.

Siti Esah Hassan, 53, diiringi ahli keluarganya keluar meninggalkan perkarangan Jabatan Forensik kira-kira jam 7.50 malam selepas jenazah anaknya dibawa keluar menggunakan kenderaan jenazah.

Ketika ditemui, kali terakhir Siti Esah menemui anaknya itu pada Rabu lalu.

“Bila kali terakhir mak cik jumpa arwah?”

“Rabu,” jelasnya ringkas kepada media.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarganya mengesahkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Selasih, Gombak pada malam ini.

“Arwah akan dikebumikan di mana ye?”

“Di Tanah Perkuburan Taman Selasih, Gombak, sekejap lagi,” jawabnya ringkas.

[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Satu mayat kanak-kanak perempuan ditemukan, angka korban 24

Allahyarham Nurul Azwani antara enam mangsa terkorban yang telah dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini.

Dia dikatakan bekerja di kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong dan mengikut rombongan perkhemahan sekolah di lokasi kejadian sejak Rabu lalu.