HULU SELANGOR: Purata kawasan penggalian di lokasi runtuhan di semua sektor bagi mengesan mangsa yang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali di sini telah melebihi 70 peratus.

Jelas Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Hafisham Mohd Noor tumpuan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini adalah di sektor C lokasi pencarian.

"Purata penggalian setiap sektor melebihi 70 peratus, sektor C tumpuan pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Operasi SAR memasuki hari kelapan itu melibatkan 91 anggota daripada pelbagai agensi, dibantu sembilan unit jengkaut tanah serta sembilan ekor anjing pengesan K9.

Sehingga kini, seorang lagi mangsa masih belum ditemui iaitu seorang kanak-kanak lelaki.

Manakala 30 mangsa disahkan terkorban, 61 mangsa selamat dalam kejadian itu.