Mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kampung Teras, Kampung Masjid, Ijok, Batu Kurau pada Jumaat petang, berjaya dikesan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa telah dikesan pada jam 10.31 malam dan kerja-kerja menyelamat masih dijalankan.

Katanya, operasi menyelamat diteruskan dengan menggunakan jentera 'backhoe' untuk menggali di kawasan tanah runtuh.

BACA: Seorang dikhuatiri tertimbus kejadian tanah runtuh di Batu Kurau

“Seramai 31 anggota bomba dan penyelamat, termasuk dua anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) terlibat dalam operasi,” katanya.

Pihak bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa dari runtuhan tanah. - Foto ihsan JBPM

Selain itu, ujarnya, operasi turut disertai 28 anggota polis, 13 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 10 anggota perubatan.

Mengikut laporan awal, mangsa seorang lelaki Melayu dalam lingkungan 57 tahun dikhuatiri tertimbus apabila tanah runtuh menghempap bahagian dapur rumahnya.

Pihak JBPM Perak menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.33 petang.