Polis sedang mengesan tiga mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar memberitahu kali terakhir ketiga-tiga mangsa dikesan semasa mereka mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Kita difahamkan mereka ini melarikan diri ketika dalam perjalanan pulang ke asrama pekerja binaan selepas menerima rawatan di HPP dipercayai khuatir ekoran tidak memiliki dokumen sah.

“Kita juga mengarahkan anggota polis untuk menjejaki mereka dan setakat ini masih tiada sebarang perkembangan mengenai ketiga-tiga mereka,” katanya dalam sidang media pada Ahad.

Setakat ini tujuh mangsa ditemukan maut dan empat lagi masih tertimbus dalam tragedi yang membabitkan 11 buruh tapak binaan di sini.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus, usaha mengeluarkan mayat ketujuh amat mencabar kerana kedudukannya yang dekat dengan kawasan cerucuk.

“Separuh bahagian mayat mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan.

“Anggota penyelamat kini sedang giat menggali secara berhati-hati bagi mengelak sebarang kemungkinan dalam usaha menyelamat ini,” katanya dalam sidang media sama.