KUALA LUMPUR: Pertembungan dan permusuhan antara masyarakat berlaku akibat kejahilan serta kurangnya kefahaman antara satu sama lain, bukan semata-mata kerana perbezaan peradaban.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, merujuk kepada isu Islamofobia, ia perlu dilihat dalam konteks bagaimana masyarakat memahami serta menghargai antara satu sama lain.
Beliau merujuk pandangan sarjana Palestin, Edward Said yang menyangkal tesis “Clash of Civilizations” atau pertembungan peradaban oleh Samuel P. Huntington, sebaliknya menyifatkannya sebagai “Clash of Ignorance” atau pertembungan akibat kejahilan.
“Tetapi Edward Said mempersoalkannya: Pertembungan apa? Mengapa? Mengapa perlu kita menggalakkan permusuhan dan rasa tidak percaya?
“Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya kita sebagai manusia menunjukkan keupayaan untuk saling menghargai dan memahami antara satu sama lain.
“Dalam tulisan ringkasnya sebagai sanggahan terhadap ‘Clash of Civilizations’, beliau menyatakan bahawa ia bukan pertembungan peradaban, tetapi ‘Clash of Ignorance’ atau pertembungan akibat kejahilan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) Ke-66 Tahun 1448H/2026 di ibu negara pada Selasa.
Anwar berkata, pertentangan antara masyarakat berlaku apabila wujud kecenderungan untuk menyerang atau membenci pihak lain tanpa didasari kefahaman.
“Maknanya, yang riuh-rendah tentang pertembungan budaya, pertembungan peradaban; yang di sini hentam Barat, yang Barat hentam di sini; yang marah tamadun sana, benci tamadun sini; padahal tidak ada kefahaman.
“Dia kata pembenturan itu berlaku, pembenturan akibat dari kejahilan. Kata dia, yang clash itu adalah ignorance,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menyeru umat Islam supaya menunjukkan sikap lebih bertoleransi dan berkasih sayang tanpa mengorbankan prinsip serta pegangan agama.
“Bagi umat Islam, saya katakan, tunjukkan lebih banyak toleransi dan kasih sayang. Itu tidak bermakna kita mengorbankan prinsip dan pegangan kita.
“Kita terus menunaikan solat, melakukan kebaikan, menghindari sikap melampau, rasuah dan sakau, serta menjadi contoh yang baik kepada semua,” tambahnya lagi.
Menurutnya, penghayatan al-Quran menerusi tilawah dan hafazan perlu diterjemahkan dengan meningkatkan ilmu serta menyemai kasih sayang terhadap sesama manusia.
Anwar berkata, nilai kasih sayang itu bukan sahaja merangkumi keluarga dan umat Islam, malah bukan Islam, haiwan serta alam sekitar.