Fokus utama kerajaan pada masa ini ialah untuk menangani dan menyelesaikan isu-isu kesihatan yang sedang dihadapi suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dalam kenyataannya pada Sabtu berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dalam menangani perkara tersebut.

"Kerajaan sedang mengkaji cara untuk menangani isu ini, bersama dengan isu-isu lain seperti tahap kesihatan dan peluang ekonomi bagi suku Batek dan masyarakat Orang Asli lain yang terpinggir," katanya.

Tambah Waytha Moorthy, langkah-langkah kukuh untuk menangani isu-isu lain suku Batek akan dilaksanakan sebaik sahaja keadaan di Kuala Koh stabil, setelah berlaku kejadian 15 anggota suku tersebut maut hampir serentak baru-baru ini.

Beliau turut merujuk kepada jawapan yang diberikan di Parlimen pada 4 Julai 2019 mengenai pencapaian yang rendah oleh masyarakat Orang Asli dari suku Batek.

"Statistik ini mencerminkan kepinggiran yang kian lama dihadapi masyarakat tersebut," katanya.

-- BERNAMA