Isu penindasan masyarakat etnik Rohingya harus ditangani segera, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini.

Beliau berkata ia bagi mengelak mereka dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab, terutama kumpulan militan Daish.

Ini memandangkan pihak barat sedang dalam usaha habis-habisan menentang gerakan militan itu di Syria dan Iraq, menyebabkan kumpulan itu dilihat terpaksa mencari kawasan lain sebagai perlindungan.

"Saya bimbang mereka (pengganas) ini akan cepat cari tempat perlindungan di luar Syria dan Iraq, dan kebimbangan saya kalau tak di selatan Thailand dan selatan Filipina, (mereka akan) ke kawasan Rohingya iaitu di Rakhine," katanya kepada pemberita di Felda Ulu Penggeli, di sini hari ini.

Sekiranya ia berlaku, kata Hishammuddin, ia akan mewujudkan kebimbangan timbulnya isu-isu yang lebih berat, dan paling serius, mewujudkan ketidakstabilan di rantau ASEAN.

Ini kerana pihak-pihak tertentu seperti Daish yang ingin mengeksploitasi keadaan untuk kepentingan mereka.

"Kita tahu bahawa Abu Sayyaf dan kumpulan-kumpulan pengganas lain sudah berbai'ah dan berikrar sokongan kepada Daish dan apabila mereka (Daish) gagal di Syria dan Iraq, mereka terpaksa cari kawasan perlindungan lain atau mewujudkan wilayah Islamiyah di tempat-tempat lain, tidak ada sebab untuk kita terkecuali daripada perancangan mereka," tambahnya.

Jelasnya lagi, kerajaan akan terus memantau kawasan yang menjadi sasaran mereka sekaligus mengekang ideologi keganasan.

Terdahulu, Hishammuddin menyampaikan geran tanah hak milik Felda Ulu Penggeli dan Felda Kahang Barat kepada seramai 84 orang peneroka.

Dalam ucapannya, beliau berkata, pemilikan tanah itu diharap menjadi penambah semangat kepada peneroka untuk terus meningkatkan hasil dan seterusnya membaiki taraf hidup mereka.