KUALA TERENGGANU: Majlis Daerah Besut (MDB) telah mengeluarkan notis sitaan tapak pembinaan bangunan resort di Pulau Perhentian yang runtuh pada 10 Nov lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pihak MDB telah selesai membuat kajian semalam dan mendapati terdapat pelanggaran syarat dan peraturan pembinaan oleh pemilik resort berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan mengikut Akta Parit dan Bangunan 1957 yang boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Pembinaan dilakukan tanpa kebenaran pihak berkuasa sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun bomba. Kita akan ambil tindakan susulan selepas ini.

"Cuma saya nak nasihatkan mana-mana pihak yang terlibat dengan pembinaan supaya mengikuti peraturan yang ditetapkan bagi menjaga keselamatan penghuni, lebih-lebih lagi bangunan seperti resort yang melibatkan orang ramai," katanya pada program gotong-royong Medan Selera 1 Batu Burok di sini hari ini, yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Terengganu Rosli Latif.

Dalam perkembangan lain, Rosli berkata tindakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menaikkan kadar kompaun kesalahan meletak kenderaan daripada RM5 kepada RM10 bermula hari ini bertujuan mendidik orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dan patuh dengan peraturan.

Selain itu, kenaikan berkenaan juga wajar dilaksanakan kerana kali terakhir semakan kompaun dilakukan adalah pada 1996.

"Kenaikan kadar kompaun 100 peratus memang nampak besar kalau dilihat dari segi peratusan. Tetapi dari segi nilai naik daripada RM5 kepada RM10 sahaja.

"Lagipun kadar ini kali terakhir kita lihat semula ialah 27 tahun lepas. Pihak berkuasa tempatan (PBT) lain bertaraf bandar raya ada yang mengenakan kompaun hingga RM30," katanya.

Rosli berkata pihaknya juga sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat untuk membangunkan aplikasi yang sistematik bagi memudahkan orang ramai membayar kompaun secara dalam talian.

-- BERNAMA