Pengerusi Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Datuk Nadzim Johan kesal dengan isu dua cokelat keluaran Cadbury Confectionery Malaysia Sdn. Bhd. yang mengandungi DNA babi (porcine) dan mahu semua cokelat keluaran syarikat berkenaan ditarik balik.

“Kami amat kesal dengan kejadian ini. Kami mahu pihak Cadbury bertanggungjawab sepenuhnya. Secara tidak langsung, ia terus menggugat keyakinan pengguna kepada produk berkenaan,” kata beliau.

Beliau turut mahukan semua produk Cadbury yang diproses di kilang yang sama ditarik balik atau digantung dari pasaran.

Keputusan analisis mendapati dua (2) sampel telah dikesan mengandungi DNA babi (porcine) iaitu:

1) Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (batch no.) 200813M01H I2 yang bertarikh luput 13 November 2014; dan

2) Coklat Susu dengan Buah Badam - Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (batch no.) 221013N01R I1 yang bertarikh luput 15 Januari 2015.

“Keyakinan terhadap produk Cadbury sudah tergugat. Produk-produk yang lain turut diproses di kilang yang sama cuma mungkin bahan yang sama tidak dapat dikesan,” kata Nadzim.

Pihak PPIM juga mahukan pihak JAKIM untuk mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengeluarkan sijil halal supaya mengajar syarikat-syarikat pengeluar makanan untuk tidak mengambil kesempatan.

“Perlu ada SOP dimana pihak JAKIM atau berkuasa untuk mengambil persampelan rawak (random sampling) yang dilakukan sekurang-kurangnya setiap dua bulan sekali keatas semua produk. Ia sebagai langkah supaya perkara ini tidak berlaku.

“Sebelum ini, pihak JAKIM akan memberikan kompaun, nasihat atau amaran kepada pihak pengeluar dan kemudian memberikan akan memberikan sijil halal kembali. Namun, pihak JAKIM perlu memperketatkan SOP mereka,” kata Nadzim.

Beliau turut berkata isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja menjejaskan pengguna umat Islam tetapi mereka yang vegetarian yang tidak boleh mengambil sebarang kandungan dari binatang.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) Muhammad Shaani Abdullah berkata tindakan yang tegas perlu diambil keatas pengeluar supaya mereka tidak mengambil mudah tentang isu ini.

“Kita juga tidak boleh menyalahkan pihak JAKIM sepenuhnya kerana pengeluar akan memberikan sampel kepada JAKIM untuk mendapat sijil halal namun ia tidak praktikal untuk JAKIM memantau setiap produk mereka.

“Pihak pengeluar perlu bertanggungjawab dan mengeluarkan produk mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Mereka tidak boleh mengambil mudah tentang ramuan yang digunakan selepas mendapat kelulusan sijil halal," kata Shaani.

Pihak pengeluar iaitu Cadbury Confectionery Malaysia Sdn. Bhd. telah memberi jaminan akan memanggil balik produk-produk yang terbabit dari pasaran dengan serta-merta.

Sementara itu, JAKIM menegaskan bahawa pensijilan halal Malaysia adalah melibatkan proses pengauditan dan pemeriksaan yang ketat merangkumi penilaian bahan ramuan, kaedah pemprosesan, peralatan yang digunakan, termasuklah pengujian makmal berdasarkan Standard Halal Malaysia dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

Selepas sijil pengesahan halal Malaysia dikeluarkan, pemegang sijil adalah tertakluk kepada pemeriksaan berkala Jakim. Dalam hal ini, pemeriksaan secara berkala terhadap syarikat pengeluar produk berkenaan telah dibuat dan pemeriksaan terakhir adalah pada 20 Februari 2014 dan didapati mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.