PUTRAJAYA: Tarikh akhir penebusan baucar digital RM300 bagi pelajar universiti awam untuk pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan dilanjutkan hingga 31 Dis depan dari 31 Okt yang diumumkan sebelum ini.

Namun demikian, Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.

"Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, bantuan ini adalah satu daripada initiatif Kerajaan Perpaduan untuk mengeratkan hubungan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak serta Labuan di samping menangani isu kos sara hidup selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI," menurut MOT dalam kenyataan hari ini.

Menurut MOT inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan mula dilaksanakan hari ini.

Selaras dengan itu, pelajar universiti awam boleh membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan di https://subsidiudara.mot.gov.my/

Menurut MOT selepas membuat semakan, pelajar yang layak boleh membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan daripada mana-mana syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines termasuk MASwings dan FireFly, AirAsia, Batik Air dan MYAirline yang dipilih oleh pelajar melalui laman sesawang syarikat penerbangan tersebut.

"Sekiranya pelajar didapati tidak layak, pelajar boleh membuat semakan dan rayuan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi melalui universiti masing-masing," katanya.

Menurut MOT buat masa ini, pelajar yang layak adalah pelajar yang berdaftar di universiti awam sehingga tahun akademik 2022/2023 pada 30 Jun 2023.

MOT memaklumkan setelah menerima permohonan tersebut, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai credit shell untuk membeli tiket penerbangan.

"Sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM300, baki baucar digital akan kekal dalam credit shell dan boleh digunakan untuk pembelian tiket seterusnya," katanya.

Pada 12 Julai lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan inisiatif itu yang akan memanfaatkan lebih 56,000 pelajar universiti awam di seluruh negara membabitkan kos keseluruhan yang dianggarkan berjumlah RM16.8 juta.

Ketika itu, Loke berkata tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Okt tahun ini.

-- BERNAMA