Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian memaklumkan satu pasukan petugas khas (task force) telah ditubuh serta-merta bagi menangani krisis pencemaran sisa kimia di sekitar Pasir Gudang, Johor.

Katanya, pasukan itu melibatkan beberapa agensi berkaitan bagi menyiasat punca sebenar pencemaran tersebut.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas yang diadakan di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang sebentar tadi berikutan keadaan pencemaran bahan kimia kini memasuki fasa kritikal.

Dalam pada itu, Osman turut memaklumkan bahawa kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan bantuan kecemasan sebanyak RM6.4 juta sebagai bantuan segera bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan, membantu pihak-pihak yang terjejas termasuk mangsa dan pegawai keselamatan yang terdedah dengan bahaya.

BACA: Pencemaran bahan kimia: Jawatankuasa kerja ditubuhkan

BACA: Selepas 34 buah sekolah ditutup, UiTM Pasir Gudang turut ditutup



“Saya menyeru kepada semua supaya kekal tenang dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menguruskan bencana ini dengan cekap, cepat dan selamat.


“Ketika ini kita tidak perlu mencari salah mana-mana pihak dan cuba bermain politik kerana fokus utama kita adalah untuk menumpukan kerja-kerja pengawalan pencemaran serta menguruskan dan merawat pesakit-pesakit yang terkesan daripada bencana ini,” katanya pada Rabu.