MALAYSIA
Tehran sedia perdalam kerjasama pelancongan dengan Malaysia

Menara Azadi di Tehran (kiri) dan tarikan pelancongan di Melaka. Kerjasama Iran dan Malaysia bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala, malah memajukan pelancongan mampan berteraskan rakyat di rantau ini.
KUALA LUMPUR: Iran menyatakan kesediaan untuk memperkukuh kerjasama pelancongan dengan Malaysia dengan menekankan potensi besar dalam pelancongan mesra Muslim, pelancongan kesihatan dan e-pelancongan - sektor yang seiring dengan strategi dasar berpandangan jauh Malaysia.
Timbalan Menteri Pelancongan Iran, Dr Anoushirvan Mohseni Bandpey berkata, kerjasama itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala, malah memajukan pelancongan mampan berteraskan rakyat di rantau ini, selaras dengan tema Hari Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini iaitu "Pelancongan dan Transformasi Mampan."
Beliau berkata sambutan Hari Pelancongan Sedunia tahun ini di Melaka, Malaysia - sebuah kota persimpangan tamadun yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO - menekankan masa depan industri bergantung pada penghormatan terhadap alam semula jadi, perlindungan alam sekitar, penggunaan sumber secara bijaksana serta tanggungjawab terhadap generasi masa depan.
"Perayaan ini merupakan peluang terbaik untuk menonjolkan warisan bersama dan memperkukuh kerjasama dalam memajukan pelancongan yang mampan, inklusif serta berteraskan rakyat di rantau kita," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Menyifatkan pelancongan hijau sebagai keperluan global, Anoushirvan menegaskan Iran komited sepenuhnya untuk bergerak ke arah pelancongan hijau dan memanfaatkan inovasi bagi mengurangkan kesan alam sekitar daripada aktiviti pelancongan.
"Ekspresi budaya pelbagai etnik, tradisi kuno, perayaan tempatan dan kebangsaan serta acara seni yang meriah menawarkan peluang berharga untuk memperlihatkan identiti Iran yang mendalam di samping memperkukuh solidariti sosial.
"Pengukuhan pelancongan domestik berasaskan sumber budaya ini bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi tetapi juga menyemarakkan daya hidup sosial, harapan dan perpaduan nasional," katanya.
Beliau berkata Kementerian Pelancongan memberi tumpuan kepada tiga keutamaan tahun ini - memperkasa pelancongan hijau dan mampan, memperluas pelancongan pintar serta memperkasa komuniti setempat.
Mencapai matlamat ini, tegasnya, memerlukan usaha bersama kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil, akademia dan penglibatan aktif rakyat.
"Dengan berganding bahu, kita mampu membentuk masa depan pelancongan Iran yang lebih cerah.
"Saya mempelawa setiap pihak berkepentingan untuk menyumbang dengan tekad bersama dalam memajukan 'Pelancongan dan Transformasi Mampan' serta memainkan peranan membina masa depan yang lebih hijau, dinamik dan penuh harapan untuk negara kita," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami