Tiada kajian atau bukti kukuh menunjukkan penggunaan teknologi generasi kelima (5G) boleh menjejaskan kesihatan seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

Pengarah Kanan Penyelidikan dan Kelestarian, bagi Persatuan GSM (GSMA) Dr Jack Rowley berkata terdapat 2,900 kajian spesifik mengenai komunikasi mudah alih yang dilakukan oleh penyelidik di seluruh dunia tetapi tidak ada yang dapat menyokong dakwaan itu. (GSMA ialah badan perdagangan yang mewakili kepentingan pengendali rangkaian mudah alih di seluruh dunia).

"Saya telah berada dalam industri selama 30 tahun dan telah melihat kebimbangan yang sama (berhubung kesihatan) dengan penggunaan 2G, 3G dan 4G tetapi tidak terdapat perubahan yang ketara dalam pendedahan peribadi.

"Berhubung isyarat radio, 5G adalah sama dengan teknologi tanpa wayar dan dilindungi di bawah garis panduan keselamatan nasional dan antarabangsa yang melindungi semua orang awam dan alam sekitar," katanya pada Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia 2020, di sini hari ini.

Persidangan sehari ini diadakan sempena projek demonstrasi 5G yang dilancarkan semalam.

-- BERNAMA