KUALA LUMPUR: Teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan robotik tidak akan menggantikan peranan manusia, sebaliknya berfungsi sebagai pelengkap bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan khususnya dalam sektor kesihatan.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penggunaan teknologi moden perlu dilihat sebagai alat sokongan yang mampu membantu mempercepatkan rawatan, meningkatkan ketepatan serta meringankan beban pesakit dan petugas kesihatan.
Menurutnya, walaupun teknologi semakin berkembang pesat, keperluan terhadap kepakaran dan sentuhan manusia tetap tidak boleh digantikan.
“Memang betul, teknologi bukan pengganti manusia. Ia hanyalah mesin yang membantu. Manusia masih diperlukan, tetapi teknologi boleh memudahkan urusan, termasuk dalam rawatan dan kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Ulang Tahun 1.0 Pembedahan Robotik di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Rabu.
Wan Azizah berkata, penggunaan teknologi robotik dalam pembedahan memberi manfaat langsung kepada pesakit melalui prosedur yang lebih selamat dan berkesan, selain membuka ruang kepada latihan serta peningkatan kemahiran dalam kalangan tenaga perubatan.
Jelasnya tema “Precision Beyond Boundaries” mencerminkan hala tuju perubatan moden yang menekankan penggunaan inovasi untuk meningkatkan ketepatan rawatan, mempercepatkan proses pemulihan serta memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.
Dalam masa sama, beliau memuji pencapaian PPUM yang menjadi perintis dalam pembedahan robotik bagi rawatan kanser payudara di Malaysia, selain mengintegrasikan teknologi Extended Reality (XR) berasaskan 5G dalam latihan perubatan.
Menurutnya, perkembangan itu membuktikan keupayaan institusi tempatan bukan sahaja sebagai pengguna teknologi, tetapi juga sebagai peneraju inovasi kesihatan di peringkat serantau.
Beliau turut berharap peluasan liputan internet 5G, termasuk di kawasan luar bandar, dapat memperluaskan penggunaan teknologi canggih dalam latihan dan perkhidmatan kesihatan.
“Teknologi harus dimanfaatkan untuk melatih modal insan dengan lebih baik, bagi menghasilkan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkesan,” katanya.
Dalam konteks pembangunan sektor kesihatan negara, beliau berkata peruntukan besar yang disediakan kerajaan termasuk bagi peningkatan liputan digital akan terus menyokong usaha ke arah sistem kesihatan yang lebih moden dan inklusif.