Skip to main content

Malaysia

Teknologi Cili MARDI bantu tingkat produktiviti, kurangkan kebergantungan import

cili, Mard
Mohamad Zabawi (tengah) berkata MARDI komited memastikan setiap teknologi yang dibangunkan dapat dimanfaatkan oleh pengusaha untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos pengeluaran dan menambah pendapatan. - Foto MARDI

KUALA LUMPUR: Penggunaan varieti cili yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berpotensi meningkatkan hasil pengeluaran kepada antara 20 hingga 30 tan metrik sehektar, sekali gus membantu pengusaha menambah pendapatan serta mengukuhkan keterjaminan makanan negara.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata teknologi itu menawarkan potensi hasil antara 1.8 hingga 2.5 kilogram (kg) sepokok apabila digabungkan dengan amalan agronomi yang disyorkan.

Ujarnya, usaha meningkatkan pengeluaran cili tempatan amat penting memandangkan kadar sara diri (SSR) bagi komoditi itu pada 2024 hanya 35.8 peratus, menunjukkan negara masih bergantung kepada import bagi memenuhi permintaan domestik.

"Justeru, MARDI melihat pengembangan penggunaan varieti Cili MARDI sebagai antara pendekatan yang mampu membantu pengusaha meningkatkan produktiviti, sekali gus menyumbang kepada pengurangan kebergantungan terhadap bekalan import," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, inisiatif peningkatan skala varieti Cili MARDI di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi tumpuan kepada pengembangan penggunaan varieti berprestasi tinggi dalam kalangan pengusaha komersial di seluruh negara.

Mohamad Zabawi berkata MARDI komited memastikan setiap teknologi yang dibangunkan dapat dimanfaatkan oleh pengusaha untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos pengeluaran dan menambah pendapatan.

"Apa yang lebih penting bukan sekadar menghasilkan varieti baharu, tetapi memastikan teknologi yang dibangunkan benar-benar memberi manfaat kepada pengusaha. Apabila pengusaha berjaya meningkatkan hasil dan pendapatan, objektif penyelidikan MARDI telah diterjemahkan kepada impak sebenar di lapangan," katanya.

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif itu, institut berkenaan memperkenalkan penggunaan varieti Cili MARDI kepada komuniti Kebuniti RT Progresif Kampung Berangan Enam, Umbai, Melaka bagi tujuan pemindahan teknologi dan penilaian prestasi varieti di lapangan.

Projek fertigasi yang dilaksanakan dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Berangan Enam itu melibatkan dua pengusaha tempatan yang mengusahakan tanaman cili di kawasan seluas 0.8 ekar menggunakan 1,000 polibeg.

Menurut MARDI, projek berkenaan berfungsi sebagai tapak demonstrasi teknologi dan penilaian prestasi varieti dalam keadaan sebenar di lapangan, dengan sasaran peningkatan produktiviti sekurang-kurangnya 10 peratus setahun.

Selain meningkatkan hasil pengeluaran, inisiatif itu turut memberi penekanan kepada pengukuhan industri pengeluaran benih bagi memastikan bekalan benih tulen, berkualiti tinggi dan mencukupi dapat disediakan secara berterusan kepada pengusaha.

 

Must Watch Video

Advertisement