Skip to main content

Malaysia

Teknologi jangan sampai 'menjajah' dan jejas punca rezeki tempatan - Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan AI perlu dioptimumkan untuk memperkukuh produktiviti kerja, selain memperluas literasi digital komuniti menerusi rangkaian pusat NADI. Foto Bernama
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan AI perlu dioptimumkan untuk memperkukuh produktiviti kerja, selain memperluas literasi digital komuniti menerusi rangkaian pusat NADI. Foto Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengingatkan bahawa kepesatan teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI) serta platform digital asing tidak seharusnya dibiarkan beroperasi tanpa kawal selia sehingga menjejaskan ekosistem perniagaan dan punca pendapatan rakyat tempatan. 

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penguasaan inovasi seperti AI sewajarnya dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti serta kecekapan aliran kerja, bukannya menggantikan tenaga kerja manusia secara membuta tuli. 

Mengambil contoh industri kreatif tempatan seperti syarikat animasi Les' Copaque dan Animasia, Fahmi berkata, mereka berupaya mengekalkan ratusan tenaga kerja tanpa sebarang pemberhentian kerana mempertahankan integriti nilai seni, dan menggunakan AI sekadar membantu proses pembersihan dan penjanaan (rendering). 

"Perubahan itu memang tidak dapat dielakkan, namun menguasai teknologi membolehkan risiko kehilangan pekerjaan dikurangkan. Kita perlu manfaatkan AI untuk memelihara peluang kerja dan menambah baik produktiviti, bukan meminggirkan pekerja. 

"Bagaimanapun, kemajuan ini datang bersama tanggungjawab. Sekiranya platform digital dan e-dagang beroperasi secara terlalu bebas tanpa kawal selia, kesannya sangat besar terhadap kedai fizikal dan pekerja tempatan yang berisiko hilang mata pencarian. Kita tidak boleh biarkan ekosistem kita dijajah oleh syarikat luar yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Dialog Menteri sempena Majlis Pelancaran Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M FSF) di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, di sini, pada Isnin. 

Sesi dialog itu turut menampilkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, dengan dikemudi Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail sebagai moderator. 

Mengulas lanjut mengenai persediaan menuju seni bina rangkaian generasi keenam (6G), Fahmi menegaskan tumpuan kerajaan kini bukan sekadar melahirkan pengguna celik teknologi, sebaliknya masyarakat yang memiliki tahap literasi digital yang tinggi dan bertanggungjawab.

Jelasnya, rangkaian hampir 1,100 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara digerakkan sebagai hab utama bagi memupuk literasi digital dan keselamatan penggunaan AI terus kepada komuniti akar umbi, khususnya kumpulan yang tidak melalui laluan institusi pengajian tinggi. 

"Cabaran digital masa kini bersifat hibrid dan merentas bidang kuasa kementerian. Kita tidak boleh lagi bekerja dalam silo, sebaliknya perlu terus memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat serta bersedia meneroka potensi baharu yang diterajui generasi muda," tambahnya. 

Must Watch Video

Advertisement