Skip to main content

Malaysia

Teknologi nuklear bantu keselamatan dan keterjaminan makanan

CYBERJAYA, 22 Ogos -- Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin menyampaikan ucapan pada Program Advokasi Nuklear: Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R)@Wanita hari ini._BERNAMA
Muhammad Rawi berkata tempoh berkenaan bergantung kepada kitaran tanaman, dengan setiap varieti perlu melalui sekurang-kurangnya lima generasi sebelum boleh mendapat pengesahan pihak berkuasa berkaitan. - Gambar/ Bernama
Advertisement

CYBERJAYA: Pembangunan varieti tanaman baharu menggunakan teknologi nuklear berpotensi menyumbang kepada keterjaminan makanan negara, namun proses penyelidikan sehingga peringkat komersial lazimnya mengambil masa beberapa generasi bagi memastikan benih yang stabil.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata tempoh berkenaan bergantung kepada kitaran tanaman, dengan setiap varieti perlu melalui sekurang-kurangnya lima generasi sebelum boleh mendapat pengesahan pihak berkuasa berkaitan.

"Contohnya untuk ubi kayu nuklear, satu generasi boleh mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan berbanding ubi kayu sedia ada. Ini membolehkan ubi kayu nuklear memberikan hasil yang tinggi dalam tempoh yang singkat. Selain itu, ubi kayu yang dihasilkan mempunyai ciri yang lebih baik seperti kurang serat, cepat empuk dan bertekstur lembut.

"Kita perlu pastikan benih baharu itu stabil dan memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki sebelum ia boleh dibawa ke peringkat komersial," katanya kepada pemberita selepas Program Advokasi Nuklear: Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R)@Wanita, di sini hari ini.

Beliau berkata Agensi Nuklear Malaysia bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Jabatan Pertanian bagi menjalankan ujian tanaman di plot yang ditetapkan.

Katanya, pengesahan pihak berkuasa penting sebelum sesuatu benih atau produk pertanian baharu boleh dikomersialkan.

Teknologi nuklear ketika ini digunakan dalam penyelidikan beberapa tanaman strategik termasuk padi, ubi kayu dan jenis ubi yang lain serta pisang, selain rumput makanan ternakan.

Bagi padi, Muhammad Rawi berkata dua varieti benih telah dihasilkan menerusi penggunaan teknologi berkenaan dan mempunyai ciri yang lebih tahan terhadap penyakit, perubahan iklim dan hasil yang tinggi.

"Tanaman padi NMR152 dapat ditanam lima musim dalam tempoh dua tahun. Hal ini dapat meningkatkan pengeluaran beras negara dan pendapatan petani," katanya. 

Dalam sektor pisang pula, beliau berkata teknologi nuklear dilihat berpotensi membantu menghasilkan varieti yang lebih tahan penyakit, sekali gus membuka ruang kepada Malaysia untuk kembali meningkatkan pengeluaran dan eksport komoditi berkenaan.

Muhammad Rawi berkata pemilihan tanaman untuk penyelidikan dibuat berdasarkan potensi impaknya terhadap keperluan makanan dan ekonomi negara.

"Untuk kenaf contohnya, kita bekerjasama dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara di ladang Perlis dan Kelantan bagi menghasilkan pokok dengan batang lebih besar serta lebih banyak daun, supaya penghasilan fiber dapat ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata teknologi nuklear juga bukan hanya digunakan bagi menghasilkan varieti tanaman baharu, tetapi turut mempunyai peranan dalam aspek keselamatan serta ketulenan makanan.

Antaranya, teknik berasaskan nuklear boleh digunakan bagi mengenal pasti asal sesuatu produk seperti madu, sarang burung walet dan udang, sekali gus membantu mengesahkan sama ada produk berkenaan benar-benar berasal dari negara asal.

“Kita mempunyai data untuk mengetahui sama ada sesuatu produk itu dihasilkan di Malaysia atau tidak. Ini antara kegunaan teknologi nuklear dalam aspek keselamatan dan keterjaminan makanan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datin Safida Zalma Mohd Piah berkata program N.U.R@Wanita bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap teknologi nuklear yang masih sering dikaitkan dengan persepsi negatif.

Beliau berkata penggunaan teknologi berkenaan sebenarnya telah lama memberi manfaat dalam bidang perubatan dan pertanian termasuk radioterapi untuk pesakit kanser serta proses penyahkuman peralatan hospital.

Safida Zalma berkata pendekatan advokasi turut memberi tumpuan kepada golongan ibu kerana mereka memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan awal kepada anak-anak mengenai sains dan teknologi.

Beliau berkata kefahaman masyarakat yang lebih baik juga penting sekiranya Malaysia mahu mempertimbangkan teknologi nuklear sebagai antara sumber alternatif tenaga pada masa hadapan.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement