Skip to main content

Malaysia

Tekong darat ditahan bersama 37 pendatang asing warga Myanmar

PASIR PUTEH, 26 Ogos -- Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kepten Maritim Kamal Mohamad (tengah) bersama anggota memeriksa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan selepas sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kelantan, Tok Bali hari ini.  APMM Kelantan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang disyaki bertindak sebagai tekong darat bersama 37 PATI warga Myanmar dalam operasi Maritim Malaysia Negeri Kelantan di sekitar tebing Sungai Kelantan berhampiran K
Kamal (tengah) bersama anggota memeriksa PATI yang ditahan selepas sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kelantan, Tok Bali hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 37 pendatang tanpa izin warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan disyaki berperanan sebagai tekong darat di tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Cina, Kota Bharu, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata bot ronda APMM yang sedang terlibat dalam Ops Naga, Ops Damai, Ops Pelantar Merah dan Ops Tiris telah mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di perairan Kuala Besar pada 5.20 pagi.

“Bot berkenaan bagaimanapun berjaya lolos apabila memecut masuk ke laluan sungai yang sempit dan cetek, manakala keadaan gelap menyukarkan bot ronda untuk merapat ke lokasi.

“Pasukan Operasi Darat Maritim kemudian digerakkan ke tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Cina bagi memintas pergerakan kumpulan berkenaan sebelum menahan kesemua 38 individu terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kelantan di Tok Bali, di sini, hari ini.

Kamal berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 25 lelaki, 11 wanita dan seorang bayi lelaki berusia kira-kira enam bulan, manakala lelaki tempatan berkenaan berusia 40 tahun.

Katanya, pemeriksaan mendapati tujuh daripada warga Myanmar itu memiliki pasport tetapi gagal mengemukakan rekod perjalanan yang sah untuk memasuki Malaysia, manakala seorang lagi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Individu dewasa yang ditahan berusia antara 15 hingga 41 tahun,” katanya dan memaklumkan tangkapan 38 individu itu merupakan yang terbesar direkodkan Maritim Kelantan sepanjang tahun ini hasil maklumat risikan.

Beliau berkata lelaki tempatan terbabit disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala kesemua warga Myanmar disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memasuki dan berada di Malaysia tanpa dokumen serta rekod perjalanan yang sah.

Kamal berkata saringan air kencing lelaki tempatan terbabit didapati positif methamphetamine dan tindakan mengikut undang-undang berkaitan akan diambil terhadapnya.

--BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement