Pemandu teksi dan e-hailing kini boleh menarik nafas lega apabil kerajaan mengumumkan perkhidmatan itu dibenarkan beroperasi tanpa had masa, sama seperti pengangkutan awam yang lain.

Menjelaskannya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka juga dibenarkan mengambil penumpang mengikut kapasiti kenderaan masing-masing.

"Kalau dulu, teksi dan e-hailing hanya dibenarkan mengambil dua penumpang dan beroperasi sehingga pukul 10 malam, sekarang kita benarkan.

"Kita benarkan mereka untuk beroperasi tanpa had dan mengambil penumpang mengikut kapasiti kenderaan tersebut," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Khamis.

Ismail Sabri memberitahu, penumpang perlu memuat naik aplikasi MySejahtera bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan proses pengesanan kontak.

Namun begitu katanya, kesemua penumpang dan pemandu diwajibkan memakai topeng muka dan hidung sepanjang perjalanan.

"Kita juga mengalakkan penumpang untuk melakukan pembayaran mengikut kaedah tanpa tunai atau cashless payment," katanya.

Dalam pada itu katanya, Mesyuarat Khas Menteri-menteri juga bersetuju untuk membenarkan kenderaan persendirian membawa penumpang yang bukan daripada keluarga yang sama dan mengikut kapasiti kenderaan masing-masing.

"Kalau dahulu kereta persendirian, berdasarkan had kapasiti tempat duduk sama ada empat, enam atau tujuh, kita masih mengekalkan polisi tersebut, cuma kalau dulu hanya daripada keluarga satu rumah, sekarang kita benarkan mereka membawa penumpang daripada keluarga atau rumah yang tidak sama," jelasnya.