KOTA KINABALU: Penyedia perkhidmatan telekomunikasi (Telco) di negara ini diingatkan supaya tidak memilih atau membahagikan kawasan liputan sesama mereka sebaliknya memberikan perkhidmatan mereka secara sama rata di semua kawasan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata langkah ini penting bagi memastikan semua rakyat di kawasan berkenaan memperoleh kualiti perkhidmatan yang sama rata walaupun melanggan perkhidmatan Telco yang berbeza.

Katanya beliau tidak mahu terjadi situasi sebuah kawasan hanya mempunyai perkhidmatan Telco tertentu sahaja yang mana ini akan merugikan rakyat di kawasan itu kerana mempunyai ruang yang kecil dalam memilih perkhidmatan Telco terbaik.

"Jika satu Telco sudah masuk kawasan itu, Telco yang lain pula tidak mahu masuk dan cari kawasan lain seolah-olah bahagikan kawasan pula, kita tidak mau begitu. Semua Telco perlu ambil tanggungjawab sama masuk semua kawasan," katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) kepada 95 penerima yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Annuar berkata bagi merealisasikan usaha itu, Telco wajar memanafaatkan teknologi menara telekomunikasi terkini yang membolehkan Telco berbeza menyediakan perkhidmatan mereka dengan hanya menggunakan satu menara.

"Satu menara mesti ada empat perkhidmatan Telco, tidak perlu menara tambahan ini teknologi benarkan malah sampai enam (perkhidmatan Telco) boleh benarkan. Semua kawasan Telco sediakan perkhidmatan terutama kawasan pelancongan," katanya.

Beliau berkata Telco juga seharusnya memikirkan soal kemanusiaan dalam menyediakan perkhidmatan seperti menyediakan perkhidmatan di kawasan yang jauh bagi menghubungkan keluarga yang tinggal berjauhan atau menghubungkan anggota keselamatan di barisan hadapan dengan orang tersayang.

Katanya penyediaan perkhidmatan telekomunikasi dan internet masa kini bukan hanya melibatkan kesalinghubungan semata-mata, sebaliknya menggunakan sebaiknya perkhidmatan itu bagi memperoleh manfaat sepenuhnya.

"Bukan hanya kesalinghubungan sahaja tetapi penggunaan teknologi dan aplikasi dalam aspek membaiki mutu kehidupan, segi meningkatkan pendapatan gunakan konsep ekonomi digital bagi meningkatkan tahap hidup," katanya.

-- BERNAMA