PADANG TERAP: Berbaki seminggu sahaja lagi menjelangnya sambutan Aidilfitri, pengusaha ketupat palas menjadi antara individu paling ‘sibuk’ dalam menyiapkan tempahan makanan tradisi itu.

Malah, bagi seorang pengusaha ketupat palas, Mohd Suhail Lukman, 29, tempias daripada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tempahan bertambah berbanding awal Ramadan hanya 3 tan dan kini mencecah 5 tan ketupat palas.

Mohd Suhail berkata, setiap hari dia bersama pekerja mampu menyiapkan antara 50 kilogram atau lebih 4,000 biji ketupat palas yang dihasilkan dalam bentuk sejuk beku itu.

"Daripada pengumuman boleh keluar KWSP itu kebanyakan dalam 70 peratus kebanyakannya tempahan dia kata nak bayar selepas KWSP masuk.

"Dia bukan tempah sikit, ada 50 kg, 100 kg. Ada yang nak makan sendiri, ada yang untuk jualan," katanya.

Menggunakan jenama Ketupat Palas Kak Cik, Mohd Suhail berkata, produk asal keluaran ibunya mempunyai empat perisa iaitu pulut hitam, jagung, kacang dan original yang boleh disimpan lama dengan harga serendah RM30 sehingga RM35 bagi sekilogram.


Katanya, bagi pelanggan di Kedah, mereka lazimnya mengambil tempahan dua atau tiga hari sebelum hari raya manakala ejen ketupat berkenaan dari luar negeri ini pula selalunya ambil lebih awal bagi memenuhi pasaran sekitar Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka.

Tambahnya, kesukaran untuk mendapatkan daun palas pada tahun ini membuatkan harga bahan itu naik namun dia tidak menaikkan harga ketupat palas jualannya.

"Daun palas apabila sudah masuk bulan puasa dekat-dekat nak hari raya, memang sangat-sangat mahal dan stok terhad. Kalau ada stok pun, dia orang jual sikit-sikit sebab 100 batang satu ikat dia orang jual antara RM70 hingga RM80. kalau kita kilang kita ambil RM70 hingga RM80, rugilah kita," katanya.

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Katanya, ketupat daun palas berkenaan adalah resepi turun temurun dari ibunya yang turut menjalankan perniagaan ketupat tersebut.


Apa lebih istimewa lagi jangka hayat Ketupat Palas Kak Cik ini boleh bertahan sehingga setahun jika disimpan di dalam peti sejuk beku pada suhu negatif 18 Celsius.

Jelas Mohd Suhail sejak empat tahun mengusahakan perniagaan ketupat palas tempahan menjelang Aidilfitri tahun ini adalah paling banyak.