PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) melanjutkan tempoh permohonan Pas Khas oleh warga asing yang terkandas atau tinggal lebih masa di negara ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata urusan permohonan pas itu, yang melibatkan pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS) dan PLS Jangka Panjang, akan bermula pada 1 Feb.

"Bagi pemegang PLS, tempoh permohonan Pas Khas dilanjutkan hingga 31 Jan ini manakala bagi pemegang PLS Jangka Panjang, tempoh permohonan pas berkenaan dilanjutkan hingga 30 Jun depan.

"Urusan permohonan Pas Khas dan pembaharuan PLS Jangka Panjang boleh dilaksanakan di Kaunter Bahagian Visa, Pas dan Permit di semua cawangan Pejabat Imigresen Negeri," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata urusan pembaharuan PLS Jangka Panjang Pasangan kepada warganegara boleh dilakukan secara dalam talian melalui sistem ePLSI.

"Maklumat lanjut berhubung perkara ini boleh layari laman sesawang JIM di pautan www.imi.gov.my," katanya.

-- BERNAMA