KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu memberi jaminan bahawa semua tenaga pengasuh kanak-kanak di 70 buah Taska Permata di bawah seliaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah melalui tapisan ketat sebelum diambil bekerja.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pihaknya juga bersyukur kerana setakat ini belum pernah berlaku kes penderaan dilaporkan di pusat jagaan kanak-kanak milik kerajaan negeri itu.

"Ini kerana semua pengasuh yang diambil bekerja akan dikenal pasti dan melalui proses tapisan ketat termasuk pemeriksaan latar belakang keluarga, lulus kursus asuhan pendidikan awal kanak-kanak Permata dan beberapa syarat lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani surat anugerah (LOA) Projek Pembangunan Mini Hidro 3.0MW Sungai Pelagat hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 134 pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di seluruh negeri.

Hanafiah berkata kerajaan negeri amat sedih serta kesal dengan kejadian menimpa seorang bayi lelaki berusia empat bulan dipercayai didera sehingga koma di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di sini, Rabu lepas.

Beliau berkata walaupun insiden tersebut berlaku di pusat jagaan kanak-kanak swasta, langkah-langkah pencegahan dan pemantauan masih perlu dijalankan di semua taska bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.

Katanya, kerajaan negeri turut menunggu perkembangan dan hasil siasatan polis berhubung kes berkenaan untuk diambil tindakan lanjut.

Semalam, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai akibat didera pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Buruk, dekat sini.

Susulan itu polis menahan reman tiga wanita yang bekerja sebagai pengasuh di taska berkenaan selama enam hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA