Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Tendang murid hingga cedera, bekas guru KAFA didenda RM2,000

KUALA KRAI, 23 Sept - Bekas guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menendang muka murid lelaki darjah lima hingga cedera. Majistret Rais Imran Hamid menjatuhi hukuman itu ke atas Abdullah Mustakim, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas murid berkenaan dengan cara menendang muka menggunakan kaki kanannya di dalam kelas sebuah sekolah di sini pada 2.30 petang, 23 Okt 2024. - fotoBERNAMA (
Majistret menjatuhi hukuman itu ke atas Abdullah Mustakim selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas murid berkenaan dengan cara menendang muka. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA KRAI: Bekas guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menendang muka murid lelaki darjah lima hingga cedera.

Majistret Rais Imran Hamid menjatuhi hukuman itu ke atas Abdullah Mustakim, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas murid berkenaan dengan cara menendang muka menggunakan kaki kanannya di dalam kelas sebuah sekolah di sini pada 2.30 petang, 23 Okt 2024.

Abdullah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan dia menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu.

Terdahulu, Abdullah diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Farazalila Fauzi merayu hukuman ringan atas alasan dia kini bekerja sebagai buruh dengan pendapatan bulanan RM1,000, selain menanggung seorang isteri serta tiga anak yang masih kecil dan belum bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor memohon hukuman setimpal kerana kesalahan itu dilakukan terhadap seorang kanak-kanak, selain sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mengikut fakta kes, pada 5.15 petang, 23 Okt 2024 semasa pengadu yang merupakan ibu kanak-kanak itu berada di pasar malam, anaknya memberitahu dia dipukul dengan cara ditendang oleh tertuduh di bahagian muka semasa kelas KAFA di sekolah hingga cedera di bahagian gusi.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement