Anakanda bongsu Sultan Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor dalam sebuah istiadat yang penuh tradisi yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini.

Istiadat Pemasyhuran Gelaran dimulakan dengan Tengku Amir Shah mengangkat sumpah gelaran Raja Muda Selangor di hadapan ayahanda baginda, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj.

Baginda kemudian melakukan Istiadat Menjunjung Duli dengan menerima keris kebesaran Raja Muda Selangor daripada Sultan Selangor.

Kemudian Tengku Amir Shah perlu berkelana selama tujuh hari di luar tanah negeri Selangor.

Berangkat sama menyaksikan istiadat yang julung kali diadakan itu ialah Permaisuri Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.

Tengku Amir Shah yang dilahirkan pada 12 Disember 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) merupakan hasil perkahwinan antara Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan Puan Nur Lisa Idris Abdullah, warganegara AS.

Tengku Amir Shah merupakan anakanda bongsu daripada tiga beradik.

Baginda mendapat pendidikan awal sekolah rendah dan menengah di Alice Smith School, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran di Wellington College, United Kingdom (UK) dari 2004 hingga peringkat A-Level pada 2009.

Baginda kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah Sarjana Muda Ekologi dan Biologi Alam Sekitar di Leeds University, UK pada 2014.

Dari 23 September sehingga 5 Disember 2014, Tengku Amir Shah menjalani kursus persediaan ketenteraan yang rapi di Akademi Tentera Darat, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Selepas itu, baginda meneruskan latihan ketenteraan Commissioning Course Intake 152 sebelum mendaftar diri di Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst, UK dari 3 Mei 2015 hingga 15 April lalu.

Rentetan daripada kejayaan tersebut, baginda ditauliahkan sebagai pegawai tentera berpangkat Leftenan Muda di Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dalam satu upacara di Kem Terendak, Melaka pada 19 Julai lalu.

Tengku Amir Shah juga meminati pelbagai jenis sukan seperti golf serta bola sepak dan aktiviti lasak seperti meredah jeram dengan bot, menunggang kenderaan pelbagai bentuk muka bumi (ATV), berbasikal dan paintball.

Baginda seringkali menyertai pertandingan golf antaranya Jemputan Raja Muda Selangor yang dianjurkan di kelab-kelab golf terkemuka di negeri ini.

Sebagai putera raja yang berjiwa rakyat, Tengku Amir Shah tidak melupakan kewajipan memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

Baginda merupakan Penaung Diraja bagi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai objektif membantu rakyat bagi meningkatkan taraf kehidupan.

Antara NGO yang dinaungi oleh baginda ialah Yayasan Raja Muda Selangor, Pertubuhan Kebajikan Selangor Cheshire Home, Make a Wish Malaysia dan Selangor Youth Community (SAY).

Baginda turut sama turun padang untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat miskin dan menyertai program-program kesedaran kesihatan kepada masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan wabak denggi.

Tengku Amir juga menghadiri majlis-majlis keagamaan yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor seperti majlis berbuka puasa dan perasmian masjid.