KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berikrar akan melaksanakan tanggungjawab dan melakukan usaha terbaik bagi melindungi spesies Harimau Malaya terus hidup dan tidak berada di ambang kepupusan.

Baginda bertitah, Harimau Malaya merupakan simbol keberanian dan kekuatan rakyat Malaysia telah lama hidup bebas di negara ini.

Haiwan kebanggaan negara itu dan mengagumkan itu kini mengalami ancaman kepupusan yang kritikal.

"Justeru, kita perlu membulatkan tekad dan mengambil langkah tegas untuk menyelamatkannya.

"Saya juga berharap agar kerajaan Pahang dapat melaksanakan langkah-langkah penting untuk memelihara dan memulihara harimau ini," titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Titah baginda lagi, kerajaan negeri perlu melaksanakan langkah penting untuk memelihara dan memulihara Harimau Malaya ini dengan memberikan keutamaan untuk menubuhkan unit penguatkuasaan berkesan bagi menghapuskan ancaman pemburuan haram dan pihak terlibat dalam kegiatan tersebut perlu ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Selain itu, habitat utama Harimau Malaya iaitu di Greater Taman Negara dan kawasan di sekitarnya perlu dilindungi segera selain memulihkan jaringan koridor hidupan liar penting di kawasan Central Forest Spine.

"Bagi melaksanakan langkah-langkah penting itu, saya menyeru agar kerajaan negeri melengkapkan diri dengan pengetahuan, teknologi, sumber dan bantuan teknikal daripada pakar tempatan dan antarabangsa.

"Semua pihak tidak boleh lagi bekerja sendirian sebaliknya perlu menyokong kerjasama dan kolaborasi penuh antara kerajaan negeri, Persekutuan dan kerajaan negeri lain yang bersempadan dengan negeri ini," titah baginda.

Tambah baginda, melalui usaha yang bersungguh-sungguh dan penuh ikhlas akan mampu menyelamatkan Harimau Malaya yang menjadi ikon kemegahan negara.

"Kita perlu melindungi kawasan hutan sebagai warisan biodiversiti yang tiada galang ganti ini dan hutan akan terus menyediakan perkhidmatan ekosistem penting demi kesejahteraan rakyat," titahnya.