SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan perasaan sangat kecewa ekoran masih ada individu yang tidak berperikemanusiaan dan tergamak berlaku kejam terhadap haiwan secara terbuka.

Baginda yang merupakan Penaung Diraja Program Stray Free Selangor (SFS) menzahirkan perasaan amat sedih dan dukacita susulan beberapa kejadian terbaharu yang membabitkan kezaliman terhadap haiwan peliharaan dan terbiar.

Susulan itu, Tengku Permaisuri Selangor menggesa agar pihak berwajib melakukan siasatan sehingga pelakunya dapat dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan.

"Baginda menyarankan agar masyarakat yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian seumpamanya supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Baginda turut mengingatkan bahawa kezaliman terhadap haiwan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan beberapa seksyen khusus iaitu Seksyen 29 untuk penganiayaan haiwan, Seksyen 30 (pembunuhan haiwan) dan Seksyen 31 (pemberian racun)," titah baginda menerusi hantaran di Facebook rasmi Selangor Royal Office.

Susulan itu Tengku Permaisuri Norashikin menyeru agar ahli masyarakat agar lebih prihatin, mempunyai perasaan belas kasihan dan terus menyemai sifat empati dan perikemanusiaan serta sayangkan haiwan peliharaan dan terbiar.

"Baginda berharap kebajikan haiwan-haiwan ini sentiasa diberi perhatian terutamanya keperluan persekitaran yang sesuai, dilindungi daripada ancaman penyakit serta keperluan mempamerkan corak kelakuan semula jadi.

"Baginda juga berterusan menggesa masyarakat dan para sukarelawan penyelamat haiwan untuk memandulkan (neuter) kucing dan anjing terbiar agar haiwan ini tidak membiak dalam persekitaran yang tidak sesuai. - BERNAMA