Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengumumkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang yang disandangnya sejak 44 tahun lalu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Mengakui masih sihat dan kuat walaupun sudah berusia 81 tahun, Tengku Razaleigh yang menyandang kerusi itu sejak 1974, mahu menyambung khidmat bakti kepada rakyat berikutan janjinya bagi membangunkan kawasan Gua Musang supaya wujud sebagai sebuah bandar maju.

"Rakyat menanti-nanti perubahan yang bakal kerajaan Barisan Nasional (BN) lakukan kerana hanya kerajaan itu sahaja yang menjamin untuk memakmurkan rakyat berbilang kaum di negara ini supaya nikmat dapat dinikmati bersama," katanya ketika berucap di hadapan lebih 3,000 penyokong BN pada Majlis Amanat Menghadapi PRU14 di sini, pada Khamis.

Tengku Razaleigh berkata PRU14 masih memberi peluang yang cerah untuk BN menang bukan sahaja di peringkat pusat, tetapi peringkat negeri Kelantan berikutan PAS berpecah belah dan anggotanya ramai lari menyertai parti lain.

"Saya percaya akan berlaku angin perubahan melanda Kelantan pada PRU14 ini kerana kesan daripada perpecahan PAS itu," katanya.

Beliau juga turut berjanji akan menyelesaikan tanah adat Orang Asli yang diperjuangkan kaum itu selama ini jika BN kembali mentadbir negeri ini.

"Bila kita (BN) menang tak payah lagi doh mereka membuat tuntutan dengan mengadakan sekatan di laluan lori balak di kampung mereka kerana kita mampu selesaikan masalah mereka," katanya.



-- BERNAMA