Skip to main content

Malaysia

Tenom berdepan banjir terburuk dalam tempoh lebih 10 tahun

71648010047_BanjirTenom.jpg
Tenom kini berdepan dengan bencana banjir terburuk yang pernah dialami daerah pedalaman Sabah itu dalam tempoh lebih 10 tahun, justeru usaha serta bantuan telah diatur gerak bagi membantu penduduk terjejas dan memastikan mereka dalam keadaan yang selamat. - Gambar fail

TENOM: Tenom kini berdepan dengan bencana banjir terburuk yang pernah dialami daerah pedalaman Sabah itu dalam tempoh lebih 10 tahun, justeru usaha serta bantuan telah diatur gerak bagi membantu penduduk terjejas dan memastikan mereka dalam keadaan yang selamat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Rubin Balang berkata melihat kepada situasi semasa dan mengambil kira keselamatan rakyat sebagai keutamaan, Pegawai Daerah Tenom Alexander Liew mengisytiharkan status bencana bagi daerah itu semalam.

Advertisement

Rubin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong berkata langkah pengisytiharan itu amat penting agar semua agensi kerajaan berkaitan dapat digerakkan dengan segera, membolehkan penyelarasan bantuan dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.

"Saya difahamkan kali ini antara banjir terburuk di Tenom. Saya juga mempengerusikan mesyuarat khas di Bilik Gerakan Bencana, Pejabat Daerah Tenom bagi membincangkan tindakan susulan, keperluan logistik serta bantuan segera yang perlu disalurkan kepada penduduk terjejas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tenom, terletak 148 kilometer arah selatan dari Kota Kinabalu, merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi dipindahkan di Sabah, iaitu 2,406 orang daripada 795 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 4 petang tadi. 

Rubin berkata sejurus selepas mesyuarat tersebut, beliau melawat beberapa PPS bagi mendekati mangsa banjir dan mengetahui keadaan serta keperluan mereka dengan lebih dekat, selain memastikan setiap suara dan keluhan rakyat didengar, serta diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berwajib.

Dalam masa yang sama, beliau telah mengingatkan pihak pengurusan PPS agar memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi, selain makanan yang disediakan haruslah dimasak dengan sempurna, bersih dan teratur demi menjaga kesihatan serta kebajikan mangsa.

"Kerjasama erat antara semua jabatan dan agensi amat penting bagi memastikan kebajikan mangsa banjir terus terpelihara termasuklah di PPS yang telah disediakan. Justeru, semua pihak perlu terus bersiap siaga dan memastikan setiap bantuan yang diperlukan dapat disampaikan dengan segera," katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi yang hadir dan bertungkus lumus memastikan kebajikan rakyat Tenom terus diberi perhatian dalam menghadapi gelombang banjir ini.

Sementara itu, pekebun kecil kelapa sawit, Ginus Ampal, 54, berkata kali terakhir Tenom berdepan bencana banjir seburuk itu adalah pada 2014 berikutan hujan lebat berterusan serta paras air sungai yang naik mendadak dalam tempoh yang sangat singkat, dan banjir kali ini banyak persamaannya.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata ketika kejadian pada lewat petang semalam, dia sedang berehat di rumah sebelum dikejutkan dengan limpahan air lumpur yang masuk ke ruang tamu kediamannya di Kampung Bunut di sini dengan pantas.

"Air naik terlalu laju berbanding kejadian banjir sebelum ini. Saya dan isteri dalam keadaan kelam-kabut hanya sempat mencapai dokumen penting serta beberapa helai pakaian sebelum air mencecah paras pinggang dalam masa kurang sejam.

“Saya hanya mampu melihat kebun dan peralatan pertanian yang menjadi sumber rezeki kami sekeluarga tenggelam sekelip mata," katanya yang kini berlindung di PPS Dewan Masyarakat Sri Antenom.

Pengusaha kedai runcit, Rita Erin Kating, 38, berkata pengalaman berdepan dengan arus deras yang menenggelamkan premis perniagaannya di Pekan Tenom merupakan igauan ngeri yang sukar dilupakan.

Ketika itu, dia sedang sibuk memindahkan barangan jualan ke tempat yang lebih tinggi pada awal malam kejadian dan tiba-tiba air naik mendadak melepasi paras dada dalam tempoh kurang dua jam.

"Semuanya berlaku terlalu pantas. Hujan lebat tanpa henti sejak petang menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan kedai dengan arus yang sangat kuat, tidak seperti banjir biasa yang pernah kami lalui dalam tempoh lebih 10 tahun ini.

“Saya dan suami terpaksa membatalkan niat menyelamatkan barang jualan dan hanya mampu memikirkan keselamatan nyawa, hampir 80 peratus stok keperluan harian di dalam kedai habis musnah ditenggelami air lumpur," katanya yang juga ditempatkan di PPS sama.

-- BERNAMA

 

TAG: Sabah, banjir, Tenom, bencana, mangsa

 

Must Watch Video