KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menyuarakan keyakinan terhadap keupayaan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan untuk menerajui Majlis Media Malaysia (MMM), dengan merujuk rekod kehakimannya yang cemerlang, termasuk penghakiman berbeza pandangan berkaitan kebebasan media dan hak perlembagaan.
Dalam hantaran di Facebook, Teo menyifatkan Nallini sebagai seorang hakim yang amat beliau hormati, sambil berkata, sepanjang kerjayanya yang cemerlang dalam badan kehakiman, beliau secara konsisten memperlihatkan kebijaksanaan perundangan yang berpandangan jauh serta nilai kemanusiaan yang mendalam.
Teo menekankan penghakiman berbeza pandangan Nallini dalam satu kes penting membabitkan portal berita dalam talian, yang menyaksikan beliau memutuskan bahawa portal berkenaan tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan terhadap komen yang disiarkan oleh pelanggannya.
“Dalam keputusan majoriti 4-3 berkaitan kewarganegaraan Malaysia bagi seorang anak tidak sah taraf (CTBE) yang dilahirkan oleh bapa warganegara Malaysia dan ibu warga asing, beliau menulis penghakiman berbeza pandangan yang menyentuh perasaan, dengan memperjuangkan tafsiran undang-undang kewarganegaraan dalam Perlembagaan yang bersifat bertujuan dan berperikemanusiaan,” katanya.
Teo yang yakin terhadap kepimpinan Nallini berkata, beliau tidak ragu-ragu bahawa majlis itu akan berkembang menjadi sebuah badan berkanun bebas yang kukuh, bebas dan mampu terus meningkatkan serta melindungi integriti industri media.
Teo berkata, MMM akhirnya ditubuhkan pada 2025 selepas lima dekad usaha advokasi, petisyen dan dialog dasar.
“Wartawan memainkan peranan penting dalam masyarakat moden kita. Mereka bukan sekadar satu industri tetapi mereka adalah estet keempat dalam demokrasi.
“Oleh sebab kedudukan unik ini, sebarang campur tangan kerajaan secara semula jadi akan dianggap sebagai satu bentuk penindasan terhadap kebebasan media. Inilah sebabnya badan berkanun bebas amat penting,” katanya.
Nallini dilantik sebagai Pengerusi MMM, badan berkanun bebas yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025.
Majlis itu dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan Nallini mendapat sokongan sebulat suara ahli Lembaga MMM dalam mesyuarat pada 26 Mei.
-- BERNAMA